206 laporan polis yang berkaitan dengan pengumpulan anggota Parlimen pembangkang diterima, kata KPN

Sebanyak 206 laporan diterima dari seluruh negara berhubung perhimpunan Ahli Parlimen pembangkang di Dataran Merdeka Isnin lalu susulan penangguhan Sidang Khas Parlimen, kata Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani.

Beliau berkata, satu kertas siasatan telah dibuka bagi semua laporan diterima dan individu terlibat akan dipanggil bagi diambil keterangan untuk melengkapkan kertas siasatan. Susulan itu, katanya polis meminta semua individu yang terlibat dalam perhimpunan itu supaya memberikan kerjasama bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat di bawah Peraturan 9 dan Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021 (P.U (A) 293), Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), Seksyen 269 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan juga Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736),” katanya dalam kenyataan.

Pada Isnin, seramai 107 Ahli Parlimen pembangkang berkumpul untuk berarak ke Parlimen dari Dataran Merdeka bagi menyuarakan protes dan meminta Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Jemaah Menteri meletak jawatan. Bagaimanapun, pergerakan semua Ahli Parlimen itu disekat anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) berperisai anti rusuhan yang menghalang mereka untuk bergerak ke Jalan Parlimen.

Acryl Sani berkata, pihaknya mengambil maklum bahawa pada 30 Julai lepas, Setiausaha Dewan Rakyat telah mengemukakan pemberitahuan bahawa Mesyuarat Khas Dewan Rakyat pada kelmarin lalu telah ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak. Beliau berkata, pada Ahad pihaknya telah menerima maklumat bahawa satu perhimpunan akan diadakan di kawasan Parlimen kelmarin.

Mengambil kira bahawa pada tarikh berkenaan tiada sidang Parlimen berlangsung kerana sidang telah ditangguhkan dan tiada kewajaran untuk ahli-ahli Dewan Rakyat berada di Parlimen, maka pihak polis telah mengambil langkah-langkah perlu untuk mengelakkan sebarang perhimpunan daripada diadakan katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here