Katak politik menunggu untuk dibeli?

Selain Covid-19, rakyat paling takutkan gelagat katak dalam beberapa minggu akan datang ini. Bukan katak berupa haiwan tetapi katak politik – “political animal berkaki dua” yang telah menodai sistem demokrasi dan mandat rakyat sekian lama.

Justeru, rakyat sepatutnya tidak perlu gusar terhadap keputusan Muhyiddin mahu membentangkan usul undi percaya terhadapnya bulan depan dan bukan dengan kadar segera. Mereka tidak perlu sangsi motif Muhyiddin, sekali pun berbelas atau berpuluh Ahli Parlimen Umno sudah memaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa mereka tidak lagi menyokong beliau mahupun kerajaannya. Tidak gusar mahupun sangsi, sepatutnya macam itu. Tetapi hakikat di lapangan adalah sebaliknya.

Kalangan rakyat dicengkam rasa sangsi, gusar, dan kecewa dengan keputusan Muhyiddin menunggu lebih sebulan untuk menguji keabsahannya di Parlimen. Tuduhan bahawa tempoh itu akan dipergunakan untuk memancing katak politik menyertai atau menyokong PN supaya kerajaan Muhyiddin diabsahkan di Parlimen bertebaran di media sosial dan menjadi topik utama dalam perbualan mengenai politik semasa.

Semua ini mungkin tidak adil kepada PN kerana tuduhan hanya berasas jika ada bukti. Namun pokok tak bergoyang tanpa angin. Kredibiliti Perdana Menteri dipersoalkan susulan Langkah Sheraton dan kewujudan audio rakaman suara mirip beliau mengatakan Ahli Parlimen Umno boleh dipikat untuk menyertai Bersatu jika ditawarkan jawatan menteri atau jawatan dalam GLC.

Pada Mei tahun lalu, dilaporkan 82.3% daripada 113 anggota parlimen PN dilantik memegang jawatan dalam Jemaah Menteri, timbalan menteri, GLC, atau dilantik sebagai diplomat khas.Justeru apabila timbul keadaan di mana Perdana Menteri perlu memastikan keabsahannya di Parlimen, maka ramai bimbang musim membeli katak politik berkaki dua sudah tiba. Harga RM32 juta untuk satu katak istimewa diuar-uarkan oleh Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.

Setakat ini, hanya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed tampil berkata keputusan Muhyiddin Yassin menunggu hingga September untuk membuktikan majoritinya bertujuan “mententeramkan keadaan”. Setahu penulis, apabila seseorang sakit, dia tidak menunggu untuk mendapatkan ubat. Beliau tidak tunggu untuk keadaannya “tenteram” sebelum berjumpa doktor.

Malaysia dalam krisis perlembagaan, ekonomi dan kesihatan. Sudah tentu kerajaan perlu mencari penawar seberapa segera tanpa berlengah. Jika Muhyiddin akur penawar itu adalah membuktikan keabsahannya sebagai Perdana Menteri, maka ia harus dilakukan segera, serta-merta.

Justeru timbul persoalan, apakah sebulan mencukupi untuk “mententeramkan keadaan”. Perkiraan sebulan ini dibuat berasaskan apa? Malangnya, Mustapa tidak menawarkan sebarang fakta dalam jawapannya kepada persoalan itu, sekadar berkata “pengumuman (Muhyiddin) itu diterima baik oleh sebahagian besar rakyat”.

Apakah rakan-rakan beliau dalam Jemaah Menteri atau Perdana Menteri sendiri akan tampil memberikan penjelasan yang telus dan masuk akal? Seperkara lagi, ketika pemimpin seperti Mustapa, Annuar Musa, dan Abdul Hadi Awang berlumba-lumba mengisytiharkan kerajaan Perikatan Nasional dan Muhyiddin fokus sepenuhnya memerangi Covid-19, Perdana Menteri masih “mempunyai masa” untuk melantik Ahmad Faizal Azumu sebagai penasihat khasnya.

Faizal adalah bekas Menteri Besar Perak dan timbalan kepada Muhyiddin dalam Bersatu. Gaji dan ganjaran jawatan penasihat berstatus menteri penuh tentunya lumayan, malah lebih bernilai, jika diambil kira krisis ekonomi dan penderitaan lain yang ditanggung rakyat ketika ini.

Tentunya, perlantikan Faizal dibuat atas kepentingan negara semata-mata. Ia dibuat untuk menyempurnakan lagi khidmat kerajaan ini kepada rakyat dan bukan atas sebarang perkiraan politik. Ia dibuat kerana Faizal mempunyai keistimewaan tertentu yang tidak dimiliki oleh puluhan Menteri dan Timbalan Menteri dalam Jemaah Menteri Muhyiddin.

Kalau yakin dengan rasional sedemikian di sebalik perlantikan Faizal itu, maka seharusnya kita juga harus percaya Muhyiddin memerlukan tempoh sebulan sebelum menguji sokongannya di Parlimen untuk “mententeramkan keadaan”. Rasa khuatir fenomena musim pembelian katak politik kembali menodai sistem demokrasi negara juga tidak kena, sekiranya kita terima penjelasan Mustapa. Tetapi rasa khuatir dan kebimbangan itu tetap nyata.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here