Boleh mengambil pekerja, tetapi kerajaan perlu menolong, kata majikan

Majikan tidak mampu untuk mengambil lebih ramai pekerja disebabkan ketidaktentuan akibat Covid-19 dan tekanan kewangan yang teruk, kata Persekutuan Majikan Malaysia (MEF). Presidennya, Syed Hussain Syed Husman, berkata sektornya boleh membantu tetapi ia perlu melaksanakan program perantisan tingkat kemahiran dan latihan semula secara berstruktur dengan penyediaan subsidi upah untuk tempoh tertentu oleh kerajaan.

Dia berkata majikan mempunyai peranan penting dalam memenuhi inisiatif Majlis Pekerjaan Negara (NEC) tetapi pada masa sama, mereka memerlukan lebih banyak sokongan bagi memastikan keadaan ekonomi terus mampan dan pasaran pekerjaan yang sihat dapat diwujudkan. Dari sudut positifnya, dia berkata terdapat permintaan yang tinggi terhadap mereka yang mempunyai kemahiran digital apabila lebih banyak syarikat berkecimpung dalam pasaran digital.

Terdapat banyak syarikat yang sanggup melatih pekerja mereka dan mengambil pekerja baru dengan kemahiran berkaitan kerana ia penting untuk menembusi pasaran secara berkesan dan memanfaatkan pasaran digital yang semakin berkembang. Syed Hussain turut menyuarakan kebimbangan terhadap pengangguran di kalangan graduan yang semakin meningkat ketika sebilangan majikan terpaksa melepaskan kakitangan berpengalaman akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Majikan dan graduan ini perlu dijejaki. Status mereka perlu sentiasa dinilai dan dikemas kini bagi membolehkan kita menilai pasaran kerja masa hadapan dengan lebih tepat untuk membuat pelan secara bersasar. Katanya, PKP bukan perkara yang ideal dan negara perlu segera beralih ke Fasa 4 di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN)

Kami berharap dengan peningkatan kadar vaksinasi dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, sektor lain akan dibenarkan beroperasi tidak lama lagi, katanya. Katanya, MEF berterima kasih dengan kerajaan yang mewujudkan NEC dan pelbagai inisiatif strategik lain namun banyak majikan terjejas teruk akibat pandemik.

Majikan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (IKS) dalam sektor bukan keperluan, mengalami kesan teruk akibat sekatan pergerakan dan ekonomi ketika PKP terus dilanjutkan. Kebanyakan syarikat ini sampai ke tahap sudah tidak mampu lagi menanggung kos perniagaan kerana tidak dapat menjana keuntungan secara konsisten sejak Mac 2020.” Dia memberi amaran bahawa ketidaktentuan ini terutama pelaksanaan PKP yang masih tidak berpenghujung akan menyebabkan ribuan perusahaan mikro dan IKS terpaksa gulung tikar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here