2 anggota polis terbunuh mengejar suspek perlumbaan haram

Dua anggota polis maut dalam kemalangan ketika mengejar suspek lumba haram dalam Operasi Samseng Jalanan di Kilometer 24.4 Lebuhraya Sistem Lingkaran Kajang (SILK) dari arah Kajang menghala ke Putrajaya, awal pagi tadi.

Mangsa berpangkat sarjan dan konstabel berusia 36 dan 26 tahun bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, meninggal dunia di tempat kejadian, kira-kira 1.30 pagi.  berpangkat sarjan itu bertugas di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), manakala rakannya pula di Cawangan Jenayah (D4).

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang Mohd Zaid Hassan, kedua-dua mangsa terbabit dalam operasi di laluan itu yang sering digunakan sebagai lokasi lumba haram. Masing-masing menunggang motosikal jenis Yamaha 115Z dan Yamaha RXZ ketika mengejar suspek lumba haram dalam operasi itu.

Mangsa yang menunggang Yamaha 115Z dari arah Kajang kemudian bertembung dengan motosikal rakannya, katanya menurut laporan Berita Harian. Zaid berkata, akibat perlanggaran itu kedua-dua mangsa parah pada bahagian muka dan kepala sebelum disahkan meninggal dunia.

Jenazah dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan siasatan lanjut sedang dilakukan bagi mengenal pasti punca kejadian. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here