Kuala Lumpur, Jan 11.
Jumlah mangsa banjir di Johor dan Pahang kembali meningkat pagi ini kepada 9,146 orang di 76 pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding 8,586 orang malam tadi.
Menurut laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), jumlah mangsa banjir di Johor meningkat kepada 7,536 orang berbanding 7,025 orang malam tadi.
Semua mangsa ditempatkan di 53 PPS di enam daerah, iaitu Kota Tinggi di 26 PPS dengan 4,448 orang, Johor Bahru (12 PPS, 1,710 orang), Kluang (sembilan PPS, 1,163 orang), Segamat (empat PPS, 103 orang), manakala Kulai dan Pontian masing-masing satu PPS dengan 90 serta 22 orang.
Di Pahang, jumlah mangsa meningkat kepada 1,610 orang berbanding 1,561 orang malam tadi yang berlindung di 23 PPS di tiga daerah, dengan masing-masing 11 PPS di Pekan dan Rompin serta satu di Maran.
Terdapat 52 jalan ditutup akibat banjir, jambatan rosak dan tanah runtuh, antaranya Jalan Johor Bahru-Endau dan Jalan Desaru-Pengerang di Kota Tinggi, Johor; Jalan Temerloh-Jerantut dan Jalan Serengkam di Maran, Pahang.





















