JOHOR AKAN MENERIMA 2 JUTA BEKALAN DOS VAKSIN BULAN INI

Iskandar Puteri, Aug 9-

Johor akan menerima sebanyak 2 juta dos vaksin untuk bulan  Ogos 2021. Dos vaksin ini akan tiba :

minggu 1 Ogos – 324,940 dos

minggu 9 Ogos – 564,234 dos

minggu 16 Ogos – 340,150 dos

minggu 23 Ogos – 796,344 dos

“Saya juga telah menitahkan kerajaan negeri untuk membuka satu PPV pandu lalu khas di Arena Larkin Johor Bahru khas bagi memudahkan golongan OKU untuk mendapatkan dos vaksin mereka” kata Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim .

Semoga pengumuman ini akan menghasilkan pencapaian imuniti kelompok dalam jangka masa yang terdekat. Sembilan puluh peratus populasi dewasa di Johor dijangka lengkap menerima dua dos vaksin menjelang akhir September, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin.

Beliau yakin sasaran itu dapat dicapai dengan pertambahan bekalan vaksin pada bulan ini dan bulan depan di samping pembukaan beberapa pusat pemberian vaksin (PPV) baharu di negeri itu.

“Dengan pembukaan PPV baharu, kapasiti suntikan vaksin di Johor yang kini 71,000 dos sehari melibatkan 259 PPV, dijangka meningkat kepada 90,000 dos sehari bulan depan,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak PPV Iskandar Malaysia Studios, semalam.

Cadangan pembukaan PPV baharu termasuk PPV Iskandar Malaysia Studios yang akan mempunyai kapasiti pemberian vaksin sebanyak 7,000 dos sehari.

Selain itu, Khairy berkata, salah satu cadangan lain ialah mewujudkan PPV pandu lalu di Arena Larkin untuk orang kurang upaya (OKU) dan warga emas.

“Itu baru cadangan, Senator Ras Adiba Mohd Radzi telah membuat lawatan untuk melihat tempat berkenaan dan beliau berpendapat kawasan tu sesuai untuk tujuan itu. Yang pasti, saya nak buka satu PPV pandu lalu OKU di Johor,” katanya yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

Terdahulu, Khairy menghadap Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim bagi membentangkan jadual penghantaran vaksin ke negeri itu.

Sementara itu, Tunku Ismail dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi laman Facebook rasmi baginda bertitah, Johor akan menerima dua juta bekalan dos vaksin dalam bulan ini.

 Sementara itu, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata, tambahan dua juta dos vaksin itu meliputi semua jenis vaksin Covid-19 yang telah mendapat kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan diagihkan ke seluruh pusat pemberian vaksin (PPV) di Johor.

“Dengan dua juta dos vaksin yang diagihkan ke Johor pada bulan ini, akan membantu mempercepatkan lagi sasaran mencapai imuniti kelompok di negeri itu,” katanya.

Setakat semalam, sejumlah 1,362,398 orang telah menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 di Johor, manakala 540,895 orang melengkapkan vaksinasi mereka.

“Secara keseluruhan, sudah 50.2% populasi dewasa di negeri itu menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19,” kata Adham.

Tunku Ismail mengadakan perjumpaan dengan YB Khairy Jamaluddin, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan merangkap Menteri Sains,  Teknologi dan Inovasi, YAB Dato’ Haji Hasni bin Mohammad, Menteri Besar Johor, YB Datuk Onn Hafiz bin Ghazi, EXCO Pelancongan, Belia dan Sukan, dan YB Dato’ Haji Azmi bin Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor  semalam di Royal Johor Polo Club mengenai kadar vaksinasi dan pembekalan vaksin di Johor.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here