SURI RUMAH B40 BAKAL TERIMA MANFAAT PERKESO

Petaling Jaya, Aug 9-

Seramai 150,000 suri rumah B40 dan di bawah paras garis kemiskinan (PGK) akan menerima manfaat perlindungan diri daripada kerajaan menerusi program Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Manakala bagi suri rumah dalam kategori lain, penyertaan dalam program berkenaan adalah secara sukarela.

Menteri Sumber Manusia M Saravanan berkata, keputusan itu dibuat susulan mesyuarat Jemaah Menteri yang diadakan pada 14 Julai bersetuju supaya suri rumah diberikan perlindungan keselamatan sosial.

“SKSSR menyediakan perlindungan terhadap bencana domestik seperti kemalangan, penyakit ataupun kematian, dibuka kepada semua suri rumah yang dianggarkan seramai 2.99 juta orang,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, ketika ini, draf Rang Undang-Undang Keselamatan Sosial Suri Rumah sedang diperhalusi bersama oleh KSM dan Jabatan Peguam Negara sebelum mendapat kelulusan Jemaah Menteri untuk pembentangan di Parlimen dalam tempoh terdekat.

“Pelaksanaan SKSSR wajar dijadikan agenda keselamatan sosial sebagai penggantian produktiviti kepada golongan suri rumah yang tidak mempunyai apa-apa perlindungan sekiranya mereka terlibat dalam bencana domestik atau mengalami keilatan yang mana sumbangan mereka mempunyai nilai ekonomi dalam pembangunan institusi kekeluargaan ataupun ‘the care economy’.

“Justeru, perlindungan keselamatan sosial adalah perlu bagi menjaga kebajikan dan kesejahteraan suri rumah memandangkan fungsi dan tugas mereka amat penting dalam institusi kekeluargaan dan pembangunan negara,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here