Semalam pada jam 2. 08 petang polis menahan seoarang remaja warga tempatan berumur 26 tahun atas aduan memukul ayah sehingga patah rusuk.
Timbalan Ketua Polis daerah Brickfields Supt. Basri bin Sagoni menyiasat aduan yang dibuat oleh seorang lelaki warga tempatan berumur 68 tahun yang merupakan seorang pesara juruteknik Hospital Kuala Lumpur.
Pengadu membuat laporan dipukul oleh anak bongsunya pada 25 Ogos 2021 jam lebih kurang 3.00 petang semasa pengadu berada di rumahnya di alamat PPR Pantai Ria, Pantai Dalam, Kuala Lumpur.
Kejadian berpunca apabila pengadu menegur anak bongsunya menconteng dinding rumah menggunakan pen marker. Tidak berpuas hati dengan teguran, anak bongsunya bertindak memarahi dan menendang pengadu dengan menggunakan kaki di bahagian rusuk kanan badan pengadu.
Pergaduhan ini menyebabkan pengadu mengalami sakit di bahagian badan dan leher. Pengadu telah pulang ke rumah isterinya di Seremban pada 26 Ogos 2021 dan telah mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban.
Pakar perubatan mengesahkan pengadu mengalami dua patah salah satu tulang rusuk kanan. Laporan pemeriksaan awal kesihatan dari Pegawai Perubatan akan dipohon untuk melengkapkan siasatan.
Sepasukan polis dari IPD Brickfields telah pergi ke rumah pengadu dan menjalankan tangkapan ke atas suspek yang merupakan anak kepada pengadu. Ujian saringan air kencing ke atas suspek dijalankan dan didapati negatif. Suspek juga tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.
Suspek mengaku telah menendang perut bapanya kerana mahu mempertahankan diri dari dipukul. Suspek telah dibawa ke hadapan Majistret Kuala Lumpur untuk permohonan tahanan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan dibenarkan selama (2) hari sehingga 28 Ogos 2021.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah dan jika sabit kesalahan, penjara selama tempoh yang boleh sampai tujuh tahun dan boleh dikenakan denda. Maklumat lain berkaitan jenayah boleh disalurkan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan.
























