Krisis air Terengganu: Penyiasatan punca paip rosak akan selesai bulan depan

Hasil siasatan mengenai punca kerosakan paip di dasar Sungai Terengganu yang menyebabkan berlaku krisis air terburuk di negeri itu akan diserahkan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada pertengahan September ini. Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu (UPEN) Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak yang mempengerusikan jawatankuasa khas siasatan itu berkata, ketika ini pihaknya sedang mengumpul maklumat berkaitan kejadian tersebut.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir ke Program Kibar Jalur Gemilang di Jambatan Angkat (Drawbridge). Krisis bekalan air kali pertama yang melibatkan 150,000 penduduk di daerah Kuala Nerus dan sebahagian Kuala Terengganu, berlaku selama 12 hari bermula 2 Ogos disebabkan paip bersaiz 1.2m pecah di dasar Sungai Terengganu, namun bekalan air bersih berjaya dipulihkan secara berperingkat pada 13 Ogos.

Bagaimanapun, pada 23 Ogos, paip yang sama pecah semula dan kerja baik pulih dijangka mengambil masa 20 hari. Ia dijangka siap pada 12 Sept depan, kerana kerosakan yang lebih teruk berbanding kali pertama. Mengulas lanjut, Ahmad Faisal berkata, jawatankuasa siasatan itu sudah bermesyuarat sebanyak tiga kali setakat ini.

Jawatankuasa siasatan terdiri dari 12 individu dari beberapa jabatan dan agensi seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Jabatan Bekalan Air, Jabatan Pengairan dan Saliran, Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd, dan Pejabat Daerah Kuala Terengganu, katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here