KEADAAN SIDANG DEWAN RAKYAT BERUBAH MENJADI PANAS

Kuala Lumpur, Sept 14-

Sidang Dewan Rakyat bermula ‘panas’ hari ini apabila pembangkang membangkitkan mengenai kejadian sekatan polis terhadap mereka untuk ke Parlimen pada 1 Ogos lalu.

Perkara itu dibangkitkan oleh RSN Rayer (PH-Jelutong) sebelum sesi Waktu Pertanyaan Menteri bermula.

Rayer mahukan jaminan Speaker, Datuk Azhar Azizan Harun bahawa kes seumpama itu tidak berulang, selain meminta penjelasan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) turut bangun bertanya mengapa beliau juga tidak dibenarkan masuk ke pejabatnya di Parlimen pada hari berkenaan.

Malah, Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh (PH-Ipoh Timur) turut bangun menyatakan beliau juga tidak dibenarkan masuk ke Parlimen untuk tugas rasmi pada hari berkenaan dan diberi amaran beredar dalam masa dua minit atau ditangkap ketika cuba melepasi sekatan jalan raya.

Malah Rayer dan Kah Woh juga berkata polis tidak ada hak menghalang Ahli Parlimen untuk masuk ke Parlimen bagi menjalankan tugas dan tindakan itu boleh didakwa mengikut Kanun Keseksaan.

Isu itu menjadi panas apabila Datuk Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) menggunakan perkataan ‘mangkuk’ apabila membantah penjelasan Hamzah yang menyatakan tindakan polis pada hari berkenaan adalah juga untuk mengelakkan tindakan berkumpul ketika pandemik.

Mahfuz berkata tidak akan berlaku tindakan berkumpul jika Ahli Parlimen pembangkang dibenarkan ke Parlimen.

Azhar Azizan kemudian mengingatkan Mahfuz supaya tidak lagi menggunakan perkataan itu selepas mendapat bantahan daripada Datuk Awang Hashim (PAS-Pendang) yang mahu ia ditarik balik.

Speaker juga dalam penjelasannya menyatakan, beliau tidak mengeluarkan arahan menghalang mana-mana Ahli Parlimen untuk masuk ke Parlimen pada hari berkenaan dan perkara yang berlaku di luar Parlimen adalah di luar bidang kuasanya.

Sementara itu, Hamzah menjelaskan, tindakan yang diambil polis pada hari kejadian adalah selaras dengan penguatkuasaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342).

Ini kerana beliau berkata, Parlimen ketika itu sudah ditangguhkan dan tiada keperluan untuk ahli Dewan Rakyat hadir dan berkumpul ke Parlimen lagi.

“Parlimen telah ditangguhkan persidangannya. Maka sebab itu apabila arahan untuk tidak dibenarkan masuk, polis mengambil kuasa mengarahkan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). Jadi apa yang menjadi masalah kita di sini?

“Masalahnya adalah sama ada kita nak mendengar dari segi keputusan Akta 342 atau tak nak mendengar. Untuk mengelakkan daripada berlakunya perkara-perkara yang lebih menjadi masalah kepada rakyat iaitu untuk tidak ada berkumpul di mana sebab itu polis melakukan sesuatu demi keselamatan semua pihak,” katanya.

Mengenai kompaun yang dikenakan, Hamzah berkata pihaknya bersama Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin kini dalam peringkat perbincangan untuk mengurangkan kompaun kepada Ahli Parlimen yang berkumpul pada 2 Ogos lalu.

“Kita kompaun sebab kita tidak mahu ada isu dua darjat antara Ahli Parlimen dengan rakyat lain yang berkumpul sebegitu. Sebab itu, kita terpaksa minta maaf, kita bagi kompaun kerana berkumpul yang melanggar undang-undang,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here