4,422 kanak-kanak kehilangan ibu bapa akibat Covid-19, kata Rina

 Seramai 4,422 kanak-kanak di negara ini kehilangan ibu bapa atau penjaga akibat Covid-19 sejak wabak tersebut melanda negara. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun berkata, seramai 154 daripada kanak-kanak terbabit menjadi yatim piatu.

Berdasarkan statistik Kementerian Pendidikan (KPM) sehingga 13 September lalu, seramai 4,422 murid dibawah KPM telah kehilangan ibu bapa, penjaga atau menjadi anak yatim piatu akibat wabak Covid-19. Seramai 154 kanak-kanak kehilangan kedua-dua ibu dan bapa,” katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan beberapa Ahli Parlimen termasuk Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berkenaan kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa akibat pandemik Covid-19. Rina berkata, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengambil pelbagai inisiatif bagi membantu kanak-kanak terbabit.

Menurut beliau, ia termasuk bantuan kewangan bagi menampung keperluan hidup kanak-kanak terlibat dan anggota keluarga mereka dalam bentuk Tabung Bantuan Segera antara RM150 hingga RM1,000. Tambah beliau, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat turut memberikan perkhidmatan kaunseling membabitkan kaunseling individu, berkelompok dan terapi psikologi.

Katanya, kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa tetapi tiada waris atau saudara mara boleh ditempatkan di institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengikut Seksyen 17 Akta Kanak-Kanak 2001.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here