KJ ulangi tiada tindakan ke atas pendatang tanpa dokumen mahu divaksin

Kementerian Kesihatan tidak akan menolak mahupun mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang datang ke pusat pemberian vaksin (PPV) untuk menerima vaksin, tanpa mengira status imigresen mereka. Jaminan itu disuarakan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin hari ini.

Keutamaan kementerian adalah untuk memberi vaksin kepada semua yang duduk di Malaysia. Kami tidak akan tolak sesiapa pun. Kami beri vaksin secara percuma kepada warga Malaysia, warga asing, dan warga asing yang ada di sini tanpa dokumen. Dan kami tidak ambil tindakan terhadap sesiapa yang datang ke PPV untuk divaksin, katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Jaminan itu susulan kenyataan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin di Dewan Rakyat semalam bahawa kakitangan kesihatan diarahkan untuk memaklumkan kepada pihak berkuasa jika warga asing tanpa dokumen hadir ke PPV dan kemudahan kesihatan. Hamzah berkata, ia adalah sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP) vaksinasi terhadap golongan itu yang telah dipersetujui kabinet pada 30 Julai.

Khairy bagaimanapun tidak menjawab secara terus ketika diminta menyatakan secara jelas jika ia bermakna kakitangan kesihatan tidak perlu melaporkan kehadiran warga asing tanpa dokumen di kemudahan kesihatan dan PPV. Seperti yang saya kata tadi, fokus utama kita adalah pemberian vaksin tanpa mengira status imigresen mereka,” katanya.

Penguatkuasaan terhadap warga asing dilihat sebagai isu dalam langkah vaksinasi Covid-19 di Malaysia yang bertujuan memberi vaksin kepada seramai mungkin penduduk.Sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) bermula pada Februari lalu, pihak berkuasa kesihatan berdepan kesukaran untuk meyakinkan warga asing tanpa dokumen untuk tampil mendapatkan vaksin, memandangkan golongan itu bimbang akan dikenakan tindakan.

Kebimbangan itu ditambah lagi dengan operasi serbuan yang dijalankan agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri di kawasan yang dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD). Ia bertentangan dengan komitmen yang dinyatakan kerajaan yang warga asing tanpa dokumen tidak akan dikenakan tindakan undang-undang apabila mereka tampil untuk membuat ujian saringan dan rawatan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here