Santhara memfailkan saman fitnah terhadap MP Batu

Timbalan menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Edmund Santhara memfailkan saman fitnah terhadap Ahli Parlimen Batu P Prabakaran atas dakwaan berkaitan keberadaan bekas timbalan menteri wilayah persekutuan di New Zealand. Santhara yang juga ahli parlimen Segamat mengemukakan writ saman melalui firma guaman N Krishnan Nair & Co di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 23 Jun lalu.

Tuntutan saman itu adalah berkenaan kenyataan yang dibuat Prabakaran ketika sidang media pada 17 Mac dan 28 Mei. Pada 17 Mac, Prabakaran antara lain menggesa Pesuruhjaya Tinggi New Zealand supaya mengekstradisi segera Santhara kembali ke Malaysia sekiranya dia melanggar undang-undang negara itu.

Ahli parlimen PKR itu juga menuntut penjelasan mengapa Santhara, yang sebelum ini keluar parti itu dan menyertai Bersatu, dapat masuk dan tinggal di negara itu untuk tempoh yang lama. Sebelum ini, Santhara berkata dia  menjalani kuarantin di New Zealand pada 24 Disember 2020 dan telah mendapat cuti selama 55 hari daripada kerajaan untuk melawat ahli keluarganya di sana.

Dia yang ketika itu menjadi timbalan menteri wilayah persekutuan pulang ke Malaysia pada Mac tahun ini. Pada 28 Mei pula, Prabakaran mendedahkan tentang surat tuntutan Santhara terhadapnya, yang digambarkan sebagai cubaan untuk ” membuli, menekan dan menakutkannya.

Ketika dihubungi olehMalaysiakini tengah hari ini, peguam N Krishnan dan Dinesh Muthal, yang masing-masing mewakili Santhara dan Prabakaran sebagai plaintif, mengesahkan tindakan undang-undang tersebut. Menurut salinan pernyataan tuntutan, Santhara mendakwa kenyataan Prabakaran dalam kedua-dua sidang media itu adalah berbaur fitnah dan sengaja dibuat dengan niat jahat.

Santhara menuntut ganti rugi teruk, teladan, pampasan dan agar Prabakaran membuat permohonan maaf dan menarik semula kenyataan-kenyataan yang telah diterbitkan di dalam akhbar harian berbahasa Malaysia, Inggeris dan Tamil, termasuk yang dimuatnaik di media sosialnya. Dia turut menuntut permohonan maaf dan penarikan semula kenyataan yang disiarkan di akhbar New Zealand Herald, serta perintah untuk menghalang defendan daripada terus mengeluarkan kenyataan fitnah.

Sementara itu, melalui pernyataan pembelaan yang dikemukakan pada 8 September, Prabakaran berkata kenyataannya dalam sidang media tersebut adalah adil dan mempunyai kepentingan awam. Dia berpendapat bahawa kenyataannya sesuai dengan tugasnya sebagai ahli parlimen untuk membangkitkan isu-isu yang memberi kesan kepada rakyat.

Prabakaran menambah bahawa ini berlaku ketika plaintif merupakan timbalan menteri wilayah persekutuan yang bertanggungjawab atas kawasan yang berada di bawah tanggungjawabnya ketika itu. Menurut laman web ecourtservices.kehakiman.gov.my, tarikh tuntutan saman itu ditetapkan untuk pengurusan kes dalam talian di hadapan Pendaftaran Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 13 Oktober ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here