Kementerian Kesihatan (KKM) sudah membuat beberapa laporan polis terhadap kumpulan antivaksin yang didakwa terus menyebarkan berita palsu, mengancam kesihatan awam dan “menjengkelkan”. Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, dalam hantaran di Twitternya memaklumkan, laporan itu dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan susulan, menyiasat dan mendakwa mereka tidak bertanggungjawab dengan segera.
Kumpulan ini terus menyebarkan berita palsu, mengancam kesihatan awam dan menjengkelkan, katanya. Khairy membalas hantaran pengguna Twitter, @DrSakinah3, yang mempersoalkan mengapa tiada tindakan diambil terhadap kumpulan anti-vaksin yang menyebarkan dakwaan palsu secara dalam talian.
Walaupun 95% dewasa dan 75.5% daripada jumlah penduduk sudah diberikan sekurang-kurangnya dos pertama mereka, masih terdapat sebahagian daripada komuniti yang menentang vaksin Covid-19. Sebelum ini, Khairy berkata, kementeriannya sedang mengkaji dasar ujian saringan kebangsaan yang baharu untuk mengambil kira individu menolak vaksin.
Dalam hantaran berasingan, Menteri Kesihatan itu berkata 5,410 dos penggalak diberikan setakat semalam, kebanyakannya kepada pasukan barisan hadapan. Warga emas akan mula menerima penggalak mereka di klinik perubatan am yang berdekatan tidak lama lagi, katanya.