Tahap kesedaran rendah punca kezaliman terhadap haiwan masih berleluasa -JPV

Di sebalik penguatkuasaan Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) yang antara lain mengenakan hukuman keras termasuk penjara kepada mereka yang didapati bersalah menzalimi haiwan, perbuatan itu dilihat masih berleluasa dengan sebahagiannya dilakukan secara terbuka. Kezaliman yang dilakukan bukan sahaja terhadap haiwan belaan dan jalanan seperti anjing dan kucing, tetapi juga kepada binatang liar. Contohnya kejadian di Paya Terubong di Pulau Pinang pada 27 Jun lepas, apabila sejumlah monyet liar ditemukan mati dipercayai akibat diracun.

Menurut Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Zaharinan Abd Aziz, pihaknya menerima 276 aduan membabitkan 13 kategori kezaliman dan pengabaian haiwan pada tahun ini setakat September lepas. Kami juga telah menjalankan sebanyak 5,597 operasi membabitkan pemeriksaan ‘pet shop’ (kedai haiwan peliharaan), tempat pembiakan haiwan, penginapan, ‘shelters’ (tempat perlindungan haiwan) dan pemilikan haiwan sepanjang tempoh berkenaan serta menyiasat sebanyak 39 kes.

Antara kategori aduan kezaliman ialah tidak diberi makan dan minum, ditinggalkan pemilik berpindah, kurungan kotor, diikat dengan rantai yang pendek dan terdedah kepada panas dan hujan, katanya ketika dalam webinar ‘Kebajikan Haiwan: Di mana Tahap Kesedaran Rakyat Malaysia’ anjuran Persatuan Perubatan Veterinar Malaysia baru-baru ini. Katanya kes yang disiasat merangkumi 30 kes penganiayaan haiwan, dua kes pemberian racun dan tujuh kes pelagaan membabitkan 28 ekor anjing, sembilan ekor kucing, 116 ekor ayam laga dan 27 ekor ikan laga.

Daripada 39 kes yang disiasat, lapan daripadanya telah selesai di mahkamah dengan tindakan di bawah Akta 772 iaitu Akta Kebajikan Haiwan 2015, katanya. Zaharinan berkata perbuatan menyepak, menendang, mendera atau mencacatkan anggota haiwan dikira sebagai kesalahan penganiayaan yang dilakukan dengan sengaja, sama ada haiwan dimiliki ataupun yang terbiar.

Begitu juga dengan tindakan tidak menyediakan makanan dan minuman serta meracun haiwan. Beliau berkata Akta 772 memperuntukkan beberapa seksyen khusus bagi kesalahan-kesalahan tersebut, iaitu Seksyen 29 untuk penganiayaan haiwan, Seksyen 30 (pembunuhan haiwan), Seksyen 31 (pemberian racun) dan Seksyen 32 (pelagaan haiwan).

 

Mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, katanya. Sementara itu, Pengarah Bahagian Regulatori JPV Dr Muhammad Razli Abdul Razak mengakui masalah kezaliman terhadap haiwan termasuk dari segi penjagaan kebajikan dan kesejahteraan masih berleluasa di negara ini berikutan tahap kesedaran masyarakat masih rendah.

Usaha aktivis haiwan, persatuan-persatuan pencinta haiwan dan pegawai veterinar dalam menjaga kebajikan haiwan adalah tidak mencukupi. Usaha ini perlu mendapat kerjasama secara menyeluruh iaitu menerapkan rasa sayang terhadap haiwan dalam kalangan masyarakat,“ katanya. Sementara itu, Pegawai Veterinar Universiti Putra Malaysia Dr Syamira Syazuana Zaini berkata berdasarkan kajian International Journal of Environmental Research and Public Health pada April lalu, penganiayaan haiwan berhubung kait dengan isu keganasan rumah tangga.

Sebagai contoh, di United Kingdom, sesuatu kes penganiayaan haiwan tidak akan terhenti pada hukuman terhadap pesalah sahaja, pihak berkuasa mereka akan teruskan penyiasatan sehinggalah mendapati kebanyakannya berpunca daripada keganasan domestik dan kesihatan mental masyarakat.

Satu kajian yang dijalankan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kuala Lumpur pada 2019 ke atas penduduk di Putrajaya, mendapati kesedaran mereka terhadap kebajikan haiwan masih kurang dan antara faktornya ialah kurang ilmu pengetahuan, cara menilai haiwan peliharaan mereka, persepsi, budaya, ekonomi dan komunikasi,“ katanya.

Dr Syamira Syazuana berkata ada lima asas kebajikan haiwan yang perlu difahami oleh masyarakat, iaitu keperluan persekitaran yang bersesuaian; keperluan untuk dilindungi daripada kesakitan, penderitaan, kecederaaan dan penyakit; keperluan untuk ditempatkan bersama atau berasingan; keperluan untuk mempamerkan corak kelakuan semula jadi; dan diet yang sesuai.

Bagi meningkatkan kesedaran terhadap kebajikan haiwan, beberapa alternatif boleh diterapkan dalam kalangan masyarakat, antaranya perubahan sikap manusia dari segi kesihatan fizikal dan mental, menggunakan participatory approach dengan haiwan-haiwan, komunikasi secara empati, serta pendidikan dan pendedahan terhadap kesedaran itu sejak kecil, katanya.

Sementara itu, doktor veterinar Dr Salehatul Khuzaimah Mohamad Ali berkata penerapan tanggungjawab lima ‘C’ iaitu Commitment, Consideration, Cost, Control dan Care perlu diterapkan dalam kalangan setiap pemilik haiwan peliharaan supaya penjagaan haiwan terbabit lebih terjamin. Memelihara dan menjaga haiwan merupakan komitmen seumur hidup dan (pemilik) perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan seperti tahap kesihatan, pindah rumah dan keadaan persekitaran bagi memastikan haiwan yang dijaga itu dapat menyesuaikan diri mereka.

Selain itu, kaji sikap haiwan-haiwan yang ingin dipelihara kerana karekter dan diet mereka tidak sama dengan manusia. Pastikan anjing atau kucing peliharaan anda tidak berkeliaran dan mengganggu ketenteraman jiran kerana orang awam boleh mengadu kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) jika mereka tidak selesa dengan gangguan haiwan-haiwan dan PBT berhak memindahkan dan memusnahkan mereka,katanya. Katanya bagi mengawal populasi haiwan-haiwan seperti anjing dan kucing, pastikan mereka dimandulkan dan hanya diberi ubat yang dipreskripsi oleh doktor veterinar bertauliah.

“Jangan pandai-pandai memberi ubat-ubatan manusia tanpa mendapat khidmat nasihat daripada doktor veterinar,” katanya dan mengingatkan masyarakat agar mengukur kemampuan sebelum memelihara haiwan belaan. Ini katanya bagi mengelakkan haiwan peliharaan terbabit dibuang apabila pemilik tidak lagi mampu menjaga mereka, sama ada kerana kerap beranak atau faktor-faktor lain.

Hal ini ada kebenarannya kerana menurut Persatuan Haiwan Malaysia, kejadian pembuangan haiwan peliharaan di sekitar ibu negara meningkat tiga kali ganda ketika penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Menurut mereka, keadaan itu dikesan oleh sukarelawan persatuan yang bertugas menjaga kebajikan haiwan terbiar di satu-satu kawasan.- Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here