Kementerian Kesihatan melaporkan 6,377 kes baharu Covid-19 berbanding 6,637 pesakit pulih dalam tempoh 24 jam lalu. Ini menjadikan keseluruhan 2,354,622 daripada 2,454,749 pesakit Covid-19 sudah sembuh setakat ini. Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat 564 pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi, dengan 500 daripadanya positif Covid-19 dan 64 lagi disyaki dijangkiti virus itu.
Daripada jumlah kes itu, 294 pesakit memerlukan bantuan pernafasan, dengan 207 daripadanya dijangkiti Covid-19 dan selebihnya 87 kes masih dalam siasatan. Katanya, terdapat 32 kes import dan 6,345 kes penularan tempatan yang membabitkan 6,011 warganegara serta 334 warga asing.
Beliau berkata, hanya 1.6 % daripada jumlah kes baharu hari ini adalah kes Kategori 3 hingga 5. Katanya, kadar kebolehjangkitan Covid-19 negara ialah 0.94 setakat semalam. Negeri Sembilan mencatatkan R-nought tertinggi pada 1.02, disusuli Kuala Lumpur (1.00), Melaka (0.98), Putrajaya (0.96), Selangor (0.95), Sabah (0.92), Kedah (0.92), Johor (0.89), Pulau Pinang (0.87), Pahang (0.87), Perlis (0.87), Terengganu (0.86), Kelantan (0.86), Perak (0.85) dan Sarawak (0.84).



















