17 pekerja positif Covid-19, Datai Langkawi tutup 10 hari

Sebuah tempat peranginan terkemuka di Langkawi ditutup sementara mulai hari ini berikutan terdapat kes positif Covid-19 dalam kalangan pekerja di premis itu.  Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Othman Warijo berkata, penutupan berkenaan adalah atas inisiatif pihak pengurusan tempat peranginan itu sendiri untuk mengekang penularan wabak tersebut sekali gus menjamin keselamatan pekerja serta pelancong.

Tanpa memberikan maklumat terperinci, beliau berkata, hasil siasatan awal pihaknya mendapati kes itu merupakan penularan tempatan dalam kalangan pekerja tempat peranginan itu dan tidak melibatkan pelancong tempatan mahupun antarabangsa. Pengesanan awal kes ini didapati apabila pekerja resort itu sendiri membuat ujian kendiri saringan Covid-19 yang perlu dibuat setiap dua minggu, dan 17 kes positif telah disahkan pihak Jabatan Kesihatan negeri setakat ini,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Othman berkata, pihaknya sedang mengesan kontak rapat kes itu dan memohon mana-mana individu terlibat yang mengalami gejala seperti demam, sakit tekak dan sesak nafas yang teruk segera membuat ujian saringan Covid-19 dan mendapatkan rawatan lanjut di kemudahan kesihatan berhampiran. Sementara itu, Datai Langkawi dalam kenyataan hari ini memaklumkan tempat peranginan itu mengambil keputusan proaktif untuk menutup sementara premis berkenaan untuk tempoh sekurang-kurangnya 10 hari bermula hari ini.

Kenyataan itu menyebut pihaknya bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan serta sebarang arahan selanjutnya telah dilaksanakan dengan segera termasuk pembersihan dan sanitasi oleh syarikat bertauliah di kuarters kakitangan serta keseluruhan tempat peranginan itu. Pengurusan resort juga secara bebas dan proaktif memulakan protokol ujian penuh untuk semua pasukan (kakitangan) sebagai sebahagian daripada programnya dengan langkah berjaga-jaga yang tinggi menurut kenyataan itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here