Padah bertengkar di jalan raya

Ampang: Akibat salah faham ketika menggunakan jalan raya, lima individu termasuk seorang wanita bergaduh dan bergelut di Bulatan Taman Seraya, Ampang di sini, kelmarin. Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian 4.30 petang berlaku ketika dua beranak lelaki menaiki lori dalam perjalanan ke tempat kerja berselisih dengan kereta Perodua Myvi dinaiki dua lelaki dan seorang wanita.

Pemandu lori berusia 48 tahun bertindak menyekat kereta berkenaan dan mengarahkan mereka berhenti sehingga berlaku pertengkaran serta pergelutan antara mereka. Semasa kejadian kedua-dua pihak ada memegang payung dan gergaji sebagai senjata, katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, polis menerima laporan daripada pemandu lori yang bekerja sebagai kontraktor pendawaian dan kejadian itu turut tular di media sosial Facebook. Menurutnya, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya berjaya menahan kelima-lima individu berusia antara 16 hingga 48 tahun pada 7.30 malam hingga 9 malam tadi di Taman Bukit Teratai dan Taman Pandan Mewah.

Polis turut merampas sebuah lori dan kereta serta senjata yang digunakan semasa kejadian. Siasatan mendapati punca kejadian pergaduhan dipercayai akibat salah faham dalam menggunakan jalan raya dan kurangnya sikap bertolak ansur katanya. Katanya, kesemua mereka akan direman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here