Kuching: Lelaki yang maut ditembak dalam kejadian di persimpangan lampu isyarat Jalan Simpang Tiga di sini, semalam mempunyai 14 rekod jenayah lampau. Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata, antara kesalahan yang dilakukan adalah curi kenderaan, penipuan dan penyalahgunaan dadah. Katanya, ketika kejadian juga lelaki berkenaan juga bersenjatakan senapang patah.
Kira-kira jam 7.20 malam semalam, lima anggota polis trafik IPD Kuching sedang menjalankan tugas rondaan di Jalan Wan Alwi dan terserempak dengan suspek, yang memandu Proton Saga dalam keadaan mencurigakan. Pasukan polis trafik terbabit sudah mengarahkan suspek berhenti untuk diperiksa namun lelaki itu memecut kenderaannya dan cuba melarikan diri.
Apabila sampai di persimpangan lampu isyarat di Jalan Simpang Tiga, kenderaan suspek melanggar lima kenderaan awam, katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.Aidi berkata, demi menjaga keselamatan dan harga benda orang awam, anggota polis trafik terbabit melepaskan tiga das tembakan ke arah tayar kenderaan suspek menyebabkan kenderaannya berhenti.
Katanya, selepas itu, anggota bersama rakan setugas cuba menghampiri kenderaan suspek untuk pemeriksaan. Tiba-tiba pengadu terlihat suspek memegang selaras senjata api dan untuk mempertahankan diri, pengadu melepaskan dua das tembakan ke arah suspek. Jadi, bagi mempertahankan diri, anggota polis trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching terbabit melepaskan dua das tembakan ke arah suspek, katanya.
Beliau berkata, suspek disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan di tempat kejadian. Polis turut merampas selaras senapang patah dan beberapa butir peluru hidup dari dalam kenderaan suspek. Bedah siasat dilakukan di Hospital Umum Sarawak hari ini,” katanya.
Beliau berkata, polis akan menjalankan siasatan yang telus dan menyeluruh terhadap kejadian itu. Kami menasihatkan masyarakat supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian agar tidak menjejaskan siasatan, katanya.









