Dua beradik maut, MPV dinaiki terbalik

Bentong: Dua beradik meninggal dunia, manakala tiga ahli keluarga lain cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka terbabas di Kilometer (KM) 44.1 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dekat sini, hari ini. Dalam kejadian 3.20 pagi itu, Wafa Safia Mohd Hairy, 17, dan adiknya, Adam Haiqal, 12, maut di tempat kejadian, manakala bapa mereka, Mohd Hairy Ahmad, 44; ibu, Zuraini Zolkifli, 44, dan adik, Fahmi Eyman, 10, cedera.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, keluarga itu menetap di Shah Alam, Selangor dan dalam perjalanan ke Kelantan menaiki Toyota Estima dipandu Mohd Hairy yang juga kakitangan Majlis Perbandaran Petaling Jaya.

Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kenderaan itu cuba memotong kenderaan di hadapan namun, gagal sebelum hilang kawalan di kawasan bersekolah dan jalan lembap. MPV itu terbabas dan terbalik menyebabkan dua mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.

Tiga mangsa lain iaitu pemandu cedera tulang belakang, isterinya retak tangan kanan, manakala seorang lagi anak lelaki mereka (Fahmi Eyman) parah di bahagian kepala,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Zaiham berkata, difahamkan lima beranak itu ke Kelantan untuk menghadiri majlis pertunangan adik Zuraini. Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Bentong untuk bedah siasat, manakala tiga mangsa lain turut dirawat di hospital sama. Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here