Mangsa banjir duduk atas bumbung surau lebih 12 jam

Kira-kira 100 penduduk Taman Sri Nanding, Hulu Langat terpaksa duduk atas bumbung surau sambil menahan kesejukan selama lebih 12 jam akibat terperangkap dalam kejadian banjir. Ia dimaklumkan seorang penduduk, Puteri Nadia Natasha Mohamed Ramzan, 24, yang mendapat tahu mengenai perkara itu menerusi perkongsian video daripada rakannya.

Katanya, penduduk terpaksa mencari selamat untuk berlindung berikutan air mula naik ke paras yang paling tinggi. Saya antara penduduk yang menetap di Taman Sri Nanding, namun sempat menyelamatkan diri keluar dari kawasan bencana. Namun ada beberapa rakan yang tidak sempat keluar terpaksa berlindung atas bumbung surau sementara menunggu bantuan tiba, katanya menurut laporan Sinar Harian.

Katanya, lebih menyedihkan apabila terdapat kalangan penduduk terdiri daripada bayi, wanita mengandung, pesakit kronik dan warga emas. Kebanyakan rumah kami sudah tenggelam dan keadaan semakin teruk apabila air dari Sungai Pangsun melimpah deras ke penempatan penduduk. Banyak kerugian harta benda dialami dan sebahagian kereta yang tidak sempat diselamatkan tenggelam selain operasi menyelamat berdepan kesukaran, jelasnya.

Menurutnya, pada masa ini penduduk mula dipindahkan dengan bantuan bot dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Surau Taman Perkasa. Setakat jam 10 pagi tadi proses pemindahan penduduk ke lokasi lebih selamat masih dijalankan dan berharap semuanya dalam keadaan selamat, katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here