Seramai 18 pengundi awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, melibatkan anggota polis akan mengundi esok.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Azhar Azizan Harun dalam satu kenyataan hari ini berkata, semua anggota terbabit akan mengundi di Bilik Maklumat, Balai Polis Chini.
Katanya pusat pengundian awal akan dibuka bermula pukul 8 pagi sehingga 12 tengah hari.
“Sepanjang proses undi awal ini, pematuhan kepada garis panduan pencegahan COVID-19 yang berkuatkuasa seperti jarakan sosial, amalan pemakaian pelitup muka, penggunaan cecair pembasmi kuman dan sarung tangan, serta saringan suhu badan, akan dilaksanakan,” katanya.
Daftar pemilih bagi PRK DUN Chini mengandungi 20,990 pengundi yang terdiri daripada 20,972 pengundi biasa dan 18 pengundi awal polis.
DUN Chini, yang merupakan satu daripada empat DUN di bawah Parlimen Pekan, menyaksikan PRK pertama selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan pada 18 Mac.
PRK Chini juga merupakan PRK ke-11 selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan merupakan yang pertama buat Perikatan Nasional (PN), selepas mengambil alih kepimpinan negara daripada Pakatan Harapan (PH).