Kes Omicron di Sarawak disyaki penularan tempatan

Antara 49 kes positif baharu Covid-19 yang dijangkiti varian membimbangkan (VOC) Omicron, satu daripadanya berkemungkinan penularan tempatan. Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, kes itu dikesan di Sarawak membabitkan lelaki warganegara China yang tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara serta sudah bekerja di negeri berkenaan sejak tiga tahun lalu.

Lelaki berkenaan menunjukkan gejala batuk sejak 13 Disember lalu dan melakukan ujian saringan Covid-19 lima hari kemudian sebelum disahkan positif Covid-19. Beliau kemudiannya dikuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Hospital Umum Sarawak dan dikesan mempunyai varian Omicron pada 23 Disember lalu.

“Beliau kini dalam keadaan stabil serta dua lagi kontak rapatnya membabitkan pemandu kenderaan serta seorang lagi adalah kontak sosial. Kedua-dua kontak rapat ini diarahkan untuk menjalani kuarantin di stesen kuarantin untuk tempoh 14 hari dan keputusan ujian sampel pertama bagi kedua-dua mereka adalah negatif,” katanya dalam sidang media khas, hari ini.

 Dengan keputusan baharu itu, Khairy berkata jumlah kumulatif kes yang dikesan varian Omicron di negara ini adalah sejumlah 62 kes. Dalam pada itu, Khairy berkata lelaki berkenaan sudah mendapatkan vaksinasi Covid-19 lengkap dan keadaanya kini adalah masih stabil. Punca jangkitan masih belum dapat dikenal pasti dan siasatan masih diteruskan oleh Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching.

Berikutan pengesanan varian ini yang disyaki dalam penularan tempatan, Kerajaan Negeri Sarawak sudah memperkukuhkan kawalan pintu masuk antarabangsa dengan mewajibkan semua pengembara dari luar negara dikuarantin di Pintu Masuk Antarabangsa yang pertama di Malaysia (First Point of Entry) sebelum dibenarkan untuk memasuki Sarawak atau meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya. Mereka ini juga diwajibkan memiliki keputusan Ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) yang negatif sebelum diberi pelepasan dari kuarantin, katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here