Sekolah Cina, Tamil sah di sisi undang-undang

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini menolak saman yang difailkan oleh beberapa kumpulan pendidikan Melayu / Islam seperti Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (Mappim) dan Gabungan Penulis Nasional (Gapena) yang mahu mahkamah mengisytiharkan kewujudan sekolah vernakular sebagai tidak mengikut perlembagaan.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali berkata penggunaan bahasa Cina dan Tamil sebagai bahasa pengantara di sekolah-sekolah tersebut adalah sah di sisi undang-undang.

Malah kata hakim itu, sekolah vernakular juga dilindungi oleh perlembagaan. Justeru, dia memutuskan bahawa kewujudan sekolah jenis kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan atas alasan mereka  bukanlah satu badan statutori atau pihak berkuasa tempatan yang wajib menggunakan bahasa kebangsaan.

Kewujudan dan penubuhan sekolah-sekolah berkenaan tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan malah kewujudannya telah diiktiraf dan dilindungi sejak merdeka.

“Penggunaan bahasa lain selain bahasa Malaysia yang merupakan bahasa kebangsaan juga tidak bertentangan dengan Perlembagaan kerana sekolah venakular bukanlah satu badan statutori atau pihak berkuasa awam yang wajib menggunakan bahasa kebangsaan,” katanya.

Pada Disember 2019, GPMS dan Mappim mencabar kewujudan sekolah jenis kebangsaan Tamil dan cina.

Kedua-dua kumpulan itu mendakwa sekolah vernakular bertentangan dengan penggunaan bahasa kebangsaan di bawah Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Mereka memohon untuk mendapatkan perisytiharan bahawa seksyen 2,17 dan 28 dalam Akta Pendidikan 1996 yang membenarkan penggunaan dua bahasa terbabit di sekolah vernakular adalah bercanggah dengan peruntukan 152(1)(a) perlembagaan.

Mereka juga memohon perisytiharan kewujudan dan penubuhan sekolah terbabit bertentangan dengan perlembagaan. Perkara 152 (1)(a) menyatakan bahasa kebangsaan adalah bahasa Melayu dan tiada sesiapa yang boleh dilarang menggunakan (selain bagi maksud rasmi) atau daripada mengajar atau belajar bahasa lain.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here