Kerajaan hari ini mengumumkan sejumlah prosedur operasi standard (SOP) Covid-19, termasuk pembukaan semula sempadan negara mulai 1 April ini. Pengunjung yang telah lengkap vaksinasi disyaratkan untuk melakukan ujian RT-PCR dua hari sebelum berlepas serta membuat ujian RTK-antigen secara profesional dalam tempoh 24 jam selepas ketibaan.
Peraturan untuk pengunjung yang tidak menerima vaksin – antaranya mereka yang tidak berbuat demikian atas faktor kesihatan – akan diumumkan esok. Warga Malaysia yang mahu ke luar negara juga tidak perlu lagi memohon “My Travel Pass”.
Perubahan ini diputuskan ketika mesyuarat Menteri Kuartet Covid-19 hari ini dan diumumkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob. Ringkasan perubahan SOP mulai 1 April ini adalah seperti berikut: Kedai makan dibenarkan beroperasi selepas 12 tengah malam
Sembahyang jemaah di masjid serta surau dan upacara sembahyang di rumah ibadat agama boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal. Tiada lagi had kapasiti 50 peratus untuk kegiatan libatkan perkumpulan orang ramai. Perjalanan rentas negeri dibenarkan tanpa mengira status vaksinasi
Namun pelaksanaan SOP akhir untuk masjid/surau tertakluk kepada ketetapan pihak berkuasa agama negeri dan untuk rumah ibadat selain Islam tertakluk kepada Kementerian Perpaduan Malaysia/Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (Unifor),kata Ismail.- MK