Perompak ‘solo’ tembak mati pengawal keselamatan berjaya ditahan

Puchong: Kira-kira satu jam selepas melarikan karung wang, seorang lelaki yang disyaki merompak dan menembak mati pengawal keselamatan berjaya ditahan polis di Seksyen 24, Shah Alam dekat sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, siasatan awal mendapati suspek yang berusia 38 tahun itu melakukan rompakan secara ‘solo’ dan berjaya merampas satu karung wang daripada pengawal keselamatan sebelum melarikan diri dalam kejadian pada 5.50 petang.

Menurutnya, suspek itu kemudiannya dikesan dan ditahan di satu lokasi awam di Seksyen 24, Shah Alam pada 7 malam. Kita turut menemui wang bersama suspek, namun belum dapat dipastikan lagi jumlahnya. Selain itu, siasatan awal terhadap suspek turut membawa polis ke satu lokasi dan ditemukan senjata api yang disyaki digunakan untuk menembak mangsa katanya.

Ditanya jumlah wang berjaya dilarikan suspek, Abd Khalid berkata, ia masih dalam siasatan kerana bank pertama sudah mengesahkan wang mereka selamat, manakala sebuah lagi bank masih mengira jumlah kerugian. Dalam kejadian di hadapan sebuah bank di Puchong Prima di sini, empat pengawal keselamatan dalam proses mengambil wang di sebuah bank dengan menaiki van keselamatan.

Sebelum itu, kesemua mereka baru selesai mengambil wang daripada sebuah bank berhampiran untuk disimpan dalam peti keselamatan, kata Abd Khalid ketika sidang media di lokasi kejadian. Menurutnya, tiga pengawal keselamatan kemudiannya masuk ke dalam bank kedua terbabit, manakala pemandu van tidak keluar dari kenderaannya.

Ketika dalam proses untuk menyimpan wang, seorang lelaki tiba-tiba muncul dan terjadi perebutan karung wang sebelum berlaku tembakan. Suspek dipercayai bersenjatakan pistol menembak bahagian rusuk dan tulang belakang dua pengawal keselamatan.

Selepas berjaya mengambil satu karung wang, suspek kemudiannya melarikan diri, namun kita masih tidak pasti dia menggunakan kenderaan jenis apa, katanya. Menurutnya, berikutan takut dengan kejadian itu, pemandu van keselamatan sempat menarik seorang rakannya yang cedera ditembak di tulang belakang dan memandu sejauh 1.5 kilometer dari lokasi kejadian.

Bagaimanapun, mangsa yang ditembak di tulang belakang itu meninggal dunia dalam van berkenaan, manakala seorang lagi rakan setugasnya yang cedera di rusuk dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut, katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here