UMNO Sabah bimbang isu keperluan asas seperti bekalan air bersih, elektrik dan jalan raya di negeri itu dijadikan modal oleh pembangkang sehingga boleh membuatkan UMNO tewas pada pilihan raya. Ketua UMNO Putatan, Jeffrey Nor Mohamed, berkata walaupun Sabah kaya dengan hasil bumi dan mineral, negeri itu tergolong sebagai antara kawasan termiskin di Malaysia.
Justeru, beliau menggesa isu bekalan asas rakyat diberikan perhatian serius. Saya ke Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka serta Pusat Daerah Mengundi (PDM). Isu ditimbulkan bukan soal jalan raya dan bekalan elektrik serta air bersih, tetapi mereka bercerita mengenai fasa yang berbeza seperti internet.
Kami di Sabah masih bercerita mengenai jalan raya berlubang dan bekalan air serta elektrik yang dicatu. Sepanggar berapa kali dapat air, seminggu cuma beberapa kali dapat air. Asas kemajuan isu ekonomi di Sabah mesti diperbaiki ketika ini, merangkumi jalan raya, elektrik dan air bersih. Jadi, saya mohon Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob), Menteri Pembangunan Luar Bandar (Datuk Seri Mahdzir Khalid)… tolong tengokkan. Kita minta supaya diambil perhatian yang berat katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini. Sementara itu, Ketua UMNO Batu Kawan, Datuk Mohd Noor Ahmad, berkata UMNO perlu mengambil semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang yang diserahkan kepada GERAKAN selepas parti berkenaan meninggalkan Barisan Nasional (BN).
“Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti, selain daripada 15 kerusi UMNO, sudah pasti BN akan melihat mana-mana kerusi yang boleh kita ambil untuk menentukan kita dapat menawan kembali Pulau Pinang,” katanya. Mohd Noor berkata, parti itu di bawah kepemimpinan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir, mengambil pendekatan mengadakan DUN tumpuan, namun bukan bermakna kerusi Parlimen tidak penting kepada parti.
“Kita mahu mencapai kemenangan di 15 kerusi UMNO ini untuk menidakkan DAP atau sekurang-kurangnya mereka tidak mencapai kemenangan dua pertiga dalam DUN. Inilah matlamat UMNO Pulau Pinang,” katanya. Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi DUN, dengan 33 kerusi dimiliki Pakatan Harapan (PH), lima Perikatan Nasional (PN) dan dua BN.