Tiada ujian COVID-19 bagi pemandu trak Malaysia ke Singapura

Singapore: Mulai Khamis ini, republik ini tidak perlu lagi melakukan ujian COVID-19 sewaktu ketibaan di pusat pemeriksaan darat ke atas pemandu trak yang datang dari Malaysia dan mereka yang menumpang kenderaan itu.

Bagaimanapun, mereka perlu menunjukkan keputusan ujian negatif COVID-19 atau membuktikan mereka baru pulih daripada virus itu di pusat pemeriksaan di Tuas dan Woodlands, untuk dibenarkan masuk ke Singapura.

Ujian adalah dalam bentuk ujian tindak balas rantai polimerase (PCR) atau ujian pantas antigen (ART) yang dilakukan secara profesional. Sejak 14 Mac lalu, Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) mengedarkan risalah kepada pemandu kargo yang memasuki Singapura untuk memaklumkan kepada mereka tentang prosedur baru itu, lapor The Straits Times.

Sebagai contoh, seorang pemandu dari Malaysia yang ingin memasuki Singapura pada bila-bila masa pada 3 April boleh melakukan ujiannya pada 1 April. Keputusan ujian itu boleh digunakan untuk masuk beberapa kali ke Singapura, selagi ia berada dalam waktu yang dibenarkan iaitu dalam masa dua hari.

Sijil ujian yang dikemukakan di pusat pemeriksaan mestilah dalam bahasa Inggeris, dan mesti menggunakan salinan kertas ataupun salinan digital, tidak boleh ditulis. Sijil juga mesti ada nama individu, tarikh lahir dan nombor pasport selain mesti mengandungi tarikh dan masa ujian serta nama pembekal ujian. Semua pemandu trak dari Malaysia yang masuk di bawah aturan itu harus sudah divaksin sepenuhnya.

Bagi yang baru pulih daripada COVID-19, mereka akan dibenarkan masuk dan tidak perlu menunjukkan keputusan ujian jika mereka menunjukkan bukti dokumen jangkitan COVID-19 dalam tempoh 90 hari yang lalu. Bagaimanapun, mereka juga perlu divaksin penuh.

MTI berkata, sejak 15 Mac, ia mula membenarkan pemandu kargo memasuki pusat pemeriksaan dengan keputusan ujian negatif sebagai ganti. Selain itu, mulai 24 Mac, token TraceTogether tidak akan diberikan di pusat pemeriksaan Tuas dan Woodlands, kata MTI dalam memo itu.

Mereka yang memerlukan token baru atau perlu menggantikan token yang rosak boleh ke mana-mana kelab masyakarat di Singapura untuk berbuat demikian, yang mungkin dikenakan bayaran SGD$13 (RM40).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here