Pusat urut, dandan di Johor Bahru jana RM4.2 juta sebulan – Imigresen

Putrajaya, Jan 9.
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengesan pengusaha pusat dandan dan urut di sekitar bandar raya Johor Bahru yang menggunakan khidmat warga asing termasuk tidak mempunyai dokumen sah mampu menjana pendapatan RM4.2 juta sebulan.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, premis yang diserbu pihaknya menerusi Ops Gegar dan Ops Dandan Ahad lalu, mampu memperoleh pendapatan sekitar RM140,000 sehari walaupun baru setahun beroperasi. Beliau berkata, mereka menggunakan perkhidmatan warga asing sebagai tukang urut dan dandan dengan dibayar gaji antara RM1,500 hingga RM2,000.

Menerusi serbuan itu, beliau berkata, pihaknya turut menahan 68 warga asing termasuk 34 warga Myanmar (24 lelaki dan 10 wanita), 16 wanita warga Vietnam, 14 warga Indonesia (13 wanita dan seorang lelaki), seorang lelaki warga Filipina serta seorang lelaki warga Pakistan yang berusia antara 19 hingga 42 tahun. Kita turut menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 51 tahun dan seorang wanita warga Vietnam berusia, 32 tahun dipercayai sebagai penjaga kepada premis berkenaan.

Dalam operasi sama, kita turut merampas satu gugus kunci premis, enam pasport Vietnam, 19 helai tuala, tujuh set peralatan mengurut, dua set peralatan perawatan kuku, telefon bimbit, beberapa buku rekod pelanggan dan wang tunai berjumlah RM844., katanya melalui satu kenyataan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here