Kuala Lumpur: Seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) melarikan diri selepas berlari berulang-alik di atas bumbung beberapa rumah selama 30 minit ketika serbuan di Pantai Dalam, di sini, hari ini. Ketika serbuan Jabatan Imigresen Malaysia kira-kira 2 pagi tadi, lelaki itu memanjat bumbung dengan hanya memakai kain pelekat serta berkaki ayam.
Usaha anggota penguatkuasa untuk memberkas lelaki terbabit gagal apabila dia menghilangkan diri selepas turun dari bumbung dan melarikan diri menggunakan laluan ‘tikus’ di kawasan berkenaan. Dalam Operasi Sapu (Op Sapu) itu juga, terdapat beberapa rumah di kawasan terbabit diubah suai dan mempunyai laluan rahsia bawah rumah sebagai persediaan untuk melarikan diri.
Beberapa PATI turut ditahan ketika bermain judi daun terup dan peralatan menghisap dadah ditemui. Ada juga PATI yang ditahan ketika bersembunyi di kawasan semak. Pengarah Imigresen Kuala Lumpur Syamsul Badrin Mohshin berkata, lebih 200 individu diperiksa dalam operasi berkenaan yang membabitkan 66 pegawai dan anggota termasuk enam anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Kami menahan 93 warga asing terdiri daripada 47 lelaki, 33 wanita, 10 kanak-kanak lelaki serta tiga kanak-kanak perempuan berusia antara satu hingga 60 tahun. Daripada jumlah itu, 62 individu yang ditahan adalah warga Indonesia, manakala seorang lagi adalah lelaki Myanmar. Kesemua mereka didapati tidak mempunyai dokumen sah serta tinggal lebih masa,katanya ketika ditemui pada sidang media di lokasi serbuan, awal pagi tadi.
Syamsul berkata, serbuan itu dilakukan hasil risikan selama dua minggu selepas pihaknya menerima aduan daripada penduduk mengenai kehadiran ramai warga asing di kawasan terbabit. Kebanyakan PATI yang ditahan bekerja sebagai buruh binaan bagi lelaki, manakala wanita pula bekerja sebagai tukang cuci. Ada di antara wanita juga mengambil upah membuat kuih.
Berdasarkan pemerhatian kami, keadaan dalam rumah si pembuat kuih ini sangat kotor dan bersepah. Kami dimaklumkan warga asing menyewa pada harga RM200 hingga RM300 sebulan bagi satu bilik di kawasan itu, katanya. Beliau berkata, kawasan setinggan terbabit pernah diserbu beberapa kali oleh pihak berkuasa termasuk serbuan pada 2015.
Kawasan ini dipercayai wujud sejak puluhan tahun lalu dan turut didiami warga tempatan hingga generasi ketiga. Jika dilihat, ada rumah di kawasan ini sudah diubah suai oleh PATI dengan membina lubang rahsia seperti ‘terowong khas’ di bawah rumah serta laluan tikus sebagai persediaan untuk mereka melarikan diri sekiranya diserbu pihak berkuasa, katanya.
Katanya, semua PATI yang ditahan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil untuk proses dokumentasi serta siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(c) akta sama




















