14,692 kes baharu Covid-19

Kuala Lumpur: Jumlah kes harian Covid-19 di negara ini, semalam mencatatkan 14,692 kes baharu membabitkan 14,474 kes tempatan manakala 218 kes import. Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 di negara mencecah 4,234,087 kes.

Beliau berkata, sebanyak 261 kes memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) yang mana 124 kes disahkan Covid-19 manakala 137 kes disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan. Katanya, kes yang memerlukan bantuan pernafasan pula sebanyak 153 iaitu 64 kes disahkan Covid-19 dan 89 kes disyaki, kemungkinan serta dalam siasatan.

Daripada keseluruhan kes harian semalam, kebanyakan pesakit dilaporkan pada kategori satu iaitu 8,557 kes diikuti 6,056 kes kategori dua manakala kategori tiga (27 kes), kategori empat (19 kes) dan kategori lima (33 kes). Berdasarkan pecahan kes kategori tiga hingga lima, 19 kes tidak divaksinasi atau belum lengkap vaksinasi, menerima dua dos vaksin (42 kes) dan sudah menerima dos penggalak (18 kes).

“Pesakit dalam kategori berkenaan juga adalah kalangan berusia 60 tahun ke atas membabitkan 46 kes dan mempunyai komorbid pula 42 kes,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut merekodkan 20,383 kes pulih Covid-19 semalam, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih meningkat kepada 3,997,786 kes iaitu 94.4 peratus daripada keseluruhan kes. Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak dua kluster baharu dikesan sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kluster meningkat kepada 6,940 dengan 190 kluster aktif.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here