Siasatan selesai kes tular 3 budak buat aksi bahaya

IPOH: Polis sudah selesai menjalankan siasatan kes tiga kanak-kanak melakukan aksi berbahaya dengan mengeluarkan separuh badan daripada kereta yang sedang bergerak di Tambun baru-baru ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata kertas siasatan sudah dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan negeri.

Siasatan sudah selesai dan suspek sudah dilepaskan dengan jaminan polis dan kita sedang menunggu arahan lanjut daripada Pengarah Pendakwaan Negeri, katanya selepas melawat hari pertama sesi bersemuka sekolah menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Perempuan, Jalan Batu Bungkal hari ini.

Mior Faridalathrash berkata, pihaknya menegaskan ibu bapa perlu lebih bertanggungjawab ke atas keselamatan anak-anak.

Dalam kes ini, dia (bapa) benarkan tiga anaknya keluar tingkap dalam kenderaan yang bergerak laju,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Polis sudah menahan bapa kepada tiga kanak-kanak yang melakukan aksi berbahaya dengan mengeluarkan separuh badan dari dalam kereta yang sedang bergerak di Tambun di sini. Lelaki berusia 37 tahun itu ditahan di Sunway City di sini, pada 9.30 malam 24 Mac.

Terdahulu, polis menyiasat video tular menunjukkan aksi berbahaya kepada kanak-kanak dalam sebuah kereta yang dipercayai dirakamkan di Jalan Tambun.

Sementara itu, Mior Faridalathrash berkata, 250 sekolah menengah di Perak dibuka untuk pelajar datang belajar secara bersemuka hari ini.

Menurut beliau, dengan pembukaan berkenaan, maka jumlah keseluruhan sekolah dibuka di negeri Perak hari ini ialah sebanyak 1,102 sekolah termasuk sekolah rendah yang sudahpun dibuka pada 21 Mac lalu.

Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memastikan semua sekolah dan murid mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi memastikan keselamatan ketika berada di kawasan sekolah.

Pemantauan secara berkala akan turut dilakukan oleh Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) dan elemen lain PDRM seperti pasukan Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB).

Semua Ketua Polis Daerah di negeri ini bersama PPS turut hadir ke sekolah di bawah seliaan masing-masing selaras dengan arahan Ketua Polis Negara, katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here