Restoran pandu lalu geng plastik hitam

Melaka: Taktik licik sebuah restoran yang dipercayai menyediakan perkhidmatan pandu lalu kepada individu beragama Islam tidak berpuasa, terbongkar selepas diserbu Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), hari ini. Premis yang terletak di Peringgit, di sini, diserbu kira-kira jam 12 tengah hari tadi hasil risikan dilakukan jabatan itu sejak satu Ramadan.

Difahamkan, restoran yang popular dalam kalangan ‘kaki ponteng puasa’ itu sebelum ini pernah beberapa kali diserbu dan diberi amaran namun perkara sama masih berlaku pada Ramadan kali ini. Tinjauan sebelum serbuan mendapati, terdapat seorang pekerja restoran itu dikatakan bertindak sebagai ‘ulat’ yang akan mengambil pesanan dari kereta ke kereta sebelum pesanan dihantar kepada pembeli yang hanya menunggu dalam kenderaan.

Malah ketika serbuan juga, pekerja terbabit bertindak melarikan diri bagi mengelak dari dicekup dan hanya muncul kira-kira 15 minit kemudian selepas JAIM meminta rakannya menelefon supaya dia kembali ke premis. Sementara itu, Pengarah JAIM Datuk Che Sukri Che Mat berkata, hasil keterangan yang direkodkan daripada wakil restoran ini, dia mendakwa beroperasi sejak jam 8 pagi dan akan menyediakan tempahan pelanggan sebelum dihantar kepada mereka yang menunggu sama ada dalam kenderaan mahupun motosikal di luar premis.

Restoran ini tersenarai antara 144 premis ‘hotspot” serta berada dalam radar JAIM dan sebelum serbuan dilakukan hari ini, pihak kami terlebih dahulu melakukan risikan. Bilangan pelanggan yang kita perhatikan juga hari ini ramai berbanding sebelum ini malah semakan dilakukan turut mendapati restoran ini kerap melakukan kesalahan sama,” katanya pada sidang media selepas mengetuai Operasi Plastik Hitam Menggelegak.

Menurut beliau, hasil operasi itu sebanyak tujuh notis dikeluarkan JAIM kepada enam pekerja dan pemilik restoran berusia antara 24 hingga 63 tahun. Notis ini dikeluarkan mengikut Seksyen 49 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka (Enakmen 6) 1991 dan mereka ini akan diminta untuk hadir ke Pejabat JAIM bagi diambil keterangan lanjut, katanya. Mengulas lanjut Che Sukri berkata, semakan lanjut dilakukan turut mendapati empat daripada pekerja restoran itu bukan beragama Islam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here