Tragedi basikal lajak: Sam Ke Ting failkan rayuan

Johor Bahru: Kerani wanita, Sam Ke Ting, sudah memfailkan permohonan kepada Mahkamah Rayuan untuk mendapatkan kebenaran merayu keputusan Mahkamah Tinggi, semalam. Rayuan itu membabitkan keputusan Mahkamah Tinggi semalam yang menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 kerana memandu secara melulu yang menyebabkan kematian lapan remaja menaiki basikal lajak.

Peguamnya, Muhammad Faizal Mokhtar berkata, notis usul kebenaran merayu dan penangguhan pelaksanaan hukuman sudah difailkan hari ini menerusi sistem e-filing mahkamah. Beliau berkata, pihaknya juga turut memfailkan sijil segera bagi mempercepatkan pendengaran rayuan kes itu.

Notis usul kebenaran merayu dan sijil perakuan segera sudah difailkan hari ini melalui sistem e-filing, katanya ketika dihubungi. Semalam, Mahkamah Tinggi di sini, mengenepikan keputusan Mahkamah Majistret pada 10 Oktober lalu yang mengekalkan keputusan untuk melepas dan membebaskan Sam daripada kesalahan memandu secara melulu, hingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak, lima tahun lalu.

Sam 27, turut diperintah menjalani tambahan hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda selain hilang kelayakan memandu selama tiga tahun yang berkuat kuasa selepas selesai hukuman penjara. Ia diputuskan Hakim Datuk Abu Bakar Katar ketika keputusan rayuan kes berkenaan di Mahkamah Tinggi.

Abu Bakar dalam keputusannya berkata, perbuatan responden yang memandu cara melulu atau merbahaya menyebabkan kehilangan lapan nyawa malah kesalahan yang dilakukan responden adalah kesalahan berat. Dalam tragedi berdarah yang berlaku di Jalan Lingkaran Dalam, di sini, pada 3.20 pagi 18 Februari 2017, lapan remaja menaiki basikal lajak terkorban dengan empat parah manakala empat lagi turut tercedera dirempuh kereta suspek.

Remaja yang maut ialah Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here