Paxlovid bukan pengganti vaksin COVID-19 – Pakar

Ubat antiviral Paxlovid keluaran Pfizer yang akan digunakan di negara ini, bukan pengganti kepada vaksin COVID-19. Pakar Perubatan Penyakit Berjangkit Hospital Sungai Buloh, Dr Yasmin Mohamed Gani menegaskan Paxlovid hanyalah satu lagi ‘senjata’ yang diberi terutama kepada pesakit berisiko tinggi dan komorbid.

Walaupun sekarang ini kita sedang mengalami Omicron yang sedang berleluasa seluruh dunia, keberkesanan pengambilan vaksin COVID-19 untuk mencegahnya… cegah daripada pesakit kategori dua ke tiga atau empat ke lima sangat bagus sekitar 75 peratus berkesan. Kalau kita lihat sekarang pesakit yang masuk ke hospital sangat sedikit. Kebanyakan hanya kategori satu atau dua dan banyak jalani kuarantin di rumah, jadi ini hasil pemberian vaksin yang mana mencegah lebih baik daripada merawat.

Nasihat saya untuk semua, ubat antiviral Paxlovid ini bukan pengganti kepada vaksin COVID-19. Ia hanyalah pil, ‘senjata’ tambahan selain prosedur operasi standard (SOP) atau pemberian vaksin yang kita praktikkan sekarang ini, katanya hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kebimbangan wujud tanggapan bahawa ubat antiviral yang dibawa masuk kerajaan itu sebagai pengganti kepada vaksin dan SOP berkait COVID-19 di negara ini. Malaysia menerima sebanyak 48,000 stok ubat antiviral, Paxlovid keluaran Pfizer, bagi merawat penyakit COVID-19 menerusi penghantaran fasa pertama pada 9 April lalu.

Keutamaan ubat antiviral ini dalam rawatan jangkitan COVID-19 akan diberikan kepada pesakit warga emas, pesakit memiliki pelbagai komorbid dan masalah sistem imun selain kepada individu berumur 18 tahun ke atas termasuk tidak memerlukan terapi oksigen. 

Dr Yasmin berkata Paxlovid hanya boleh dipreskripsi kepada pesakit selepas mendapat kebenaran doktor. Paxlovid ini bukan boleh diambil begitu saja, mesti bincang dahulu dengan pihak yang menyedia ubat supaya doktor tahu pesakit juga ada mengambil ubat lain dan bagaimana kesesuaian ubat terbabit dengan Paxlovid jika diambil bersama dan kesannya, katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here