2 beradik maut kebakaran rumah kedai

Dua beradik termasuk bayi tujuh bulan maut dalam kebakaran sebuah rumah kedai di Bandar Seri Iskandar, di sini, hari ini. Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi, Muhammad Fahmi Mohd Fazlan Nizam 4, dan adiknya Nor Fahmia, tujuh bulan, meninggal dunia dipercayai akibat sesak nafas.

Difahamkan, kejadian berlaku ketika dua beradik terbabit berada di tingkat dua bangunan itu, sementara ibu bapa mereka bersahur di tingkat bawah. Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso, berkata kedua-dua mangsa terperangkap dalam sebuah bilik di rumah kedai itu ketika kebakaran.

Bagaimanapun, dua beradik itu dapat dibawa keluar anggota bomba dan hasil pemeriksaan mendapati tiada kesan kebakaran nyata pada tubuh mereka. Namun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan ketika dibawa ke Hospital Changkat Melintang untuk pemeriksaan lanjut, katanya dalam satu kenyataan.

Barudin berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati lokasi kebakaran adalah bangunan kedai makan tiga tingkat. Tingkat bawah premis itu menempatkan sebuah restoran tomyam, manakala tingkat dua dijadikan tempat tinggal pekerja dan tingkat tiga pula kosong. Kebakaran berlaku di tingkat dua yang dilengkapi dua bilik yang menjadi tempat tinggal pekerja kedai.

Ketika kejadian, hanya dua kanak-kanak itu berada di tingkat dua, manakala ibu bapa bersama pekerja lain sedang bersahur di tingkat bawah. Kedua-dua mangsa adalah anak kepada pemilik restoran itu. Bedah siasat akan dijalankan bagi mengesahkan punca kematian mangsa, katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here