Lelaki Indonesia maut terjatuh apartmen

Georgetown: Lelaki Indonesia ditemukan maut selepas terjatuh dari tingkat lapan Apartment Eastern Court, Jelutong, di sini, semalam, dengan kaki kirinya dirantai pada kerusi. Mangsa ditemukan di kawasan parkir apartmen itu, turut mempunyai kesan darah akibat kecederaan di kepala.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, terdahulu, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian daripada orang awam pada 5.40 petang. Katanya, pemeriksaan mendapati mangsa bersama seorang lagi lelaki menyewa rumah berkenaan yang dijadikan inap desa dan mempunyai tiga bilik.

Didapati mangsa berusia 33 tahun mendaftar masuk ke rumah itu sejak 13 April lalu bersama seorang lagi lelaki tempatan berusia 52 tahun. Menurut saksi, dia membantu kedua-duanya yang dikatakan datang dari Melaka dengan menghantar makanan ke rumah berkenaan setiap hari pada 1 tengahari dan 5 petang.

Saksi berkenaan sempat bertemu seorang daripada mereka bagi menghantar makanan pada 5 petang sebelum menerima maklumat mengenai kematian mangsa, katanya ketika ditemui Harian Metro. Mengulas lanjut Soffian berkata, pemeriksaan dalam rumah berkenaan tidak menemukan sebarang kesan pergaduhan.

Berdasarkan penemuan pasport, mangsa datang dari Dumai, Indonesia menerusi jalan laut pada 23 Mac lalu, sebelum datang ke Pulau Pinang. Polis masih menyiasat motif kejadian dan tujuan mereka datang ke negeri ini.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang bagi dibedah siasat untuk mengesan kecederaan lain pada tubuhnya. Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut sehingga urusan bedah siasat selesai dan polis kini sedang giat mengesan lelaki yang menyewa rumah berkenaan bersama mangsa, bagi membantu siasatan, katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here