Dua beradik perempuan cedera disyaki didera bapa tiri

Dua beradik perempuan masing-masing merupakan murid darjah tiga dan satu di sebuah sekolah rendah di sini cedera disyaki didera bapa tiri mereka baru-baru ini. Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Ahmad Shukri Mat Akhir berkata perkara itu disedari guru kepada murid darjah tiga berkenaan pada Selasa lepas.

Pada 10.15 pagi, guru mangsa yang berada di dalam kelas mendapati terdapat kesan lebam di bahagian kiri dan kanan pipi mangsa dan apabila ditanya, mangsa memberitahu dia telah dipukul oleh bapa tirinya. Guru berkenaan kemudian memaklumkan perkara itu kepada guru kaunseling dan pihak pentadbiran sekolah sebelum dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Alor Setar untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihak JKM telah datang ke sekolah itu untuk mendapatkan maklumat lanjut sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Alor Setar pada keesokan harinya dengan membawa kedua beradik itu. Polis telah merakamkan keterangan guru dan pegawai JKM yang menerima aduan awal. Hasil temu bual ke atas kedua-dua beradik itu, mereka memaklumkan dipukul oleh bapa tiri dan kedua-duanya telah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, di sini untuk pemeriksaan kesihatan.

“Mangsa yang darjah tiga mengalami luka di bahagian kepala, bengkak dan lebam di bahagian kedua-dua belah pipi selain terdapat kesan lebam di bahagian belakang badan dipercayai akibat ditendang bapa tirinya manakala terdapat kesan parut lama di bahagian dahi adiknya,” katanya.

Ahmad Shukri berkata pegawai perubatan yang menjalankan pemeriksaan ke atas kedua-dua beradik berkenaan mengesahkan bahawa kecederaan yang dialami adalah akibat dipukul dan mereka kini ditempatkan di wad untuk pemantauan lanjut. Polis sedang mengesan bapa tiri mereka yang berumur 33 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.-Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here