Tragedi tertinggal kasut futsal

Gombak: Hasrat remaja lelaki bermain futsal tidak kesampaian selepas dia maut dalam kemalangan ketika berpatah balik ke rumah untuk mengambil kasut yang tertinggal. Kemalangan pada 8.45 malam tadi berlaku di Batu 8 Jalan Gombak Lama, di sini.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, mangsa, Dian Izwan Hidayat, 18, menunggang motosikal Yamaha LC dari arah Batu 10 menghala ke Titiwangsa untuk bermain futsal.

Katanya, sebaik tiba di Batu 7, mangsa dipercayai berpatah balik untuk pulang ke rumah mengambil kasut futsal dan dalam perjalanan itu, motosikalnya ditunggangnya hilang kawalan berikutan jalan basah. Mangsa terbabas dan terjatuh di lorong bertentangan, manakala Perodua Myvi yang berada di laluan berkenaan tidak sempat mengelak lalu melanggarnya, katanya dalam kenyataan hari ini.

Zainal berkata, mangsa yang parah di kepala disahkan meninggal dunia dan mayatnya dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Selayang untuk dibedah siasat. Katanya, pemandu kereta itu belum dikenal pasti dan pihaknya giat mengesan untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di talian 03-61262222, katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here