HFMD: Tiada keperluan tutup taska, tadika, pusat jagaan kanak-kanak di Selangor

Shah Alam: Kes jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Selangor masih dalam keadaan terkawal dan tiada keperluan untuk menutup taska, tadika dan pusat jagaan harian di negeri itu.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sebarang kes penutupan premis berkenaan adalah atas nasihat Jabatan Kesihatan Negeri Selangor terutamanya apabila melihat jumlah kes yang semakin tinggi dan perebakan yang semakin membimbangkan. Sekejap lagi saya akan bermesyuarat dengan pihak kementerian (Kementerian Kesihatan) kerana ada benda yang saya nak tanya lebih lanjut mengenai HFMD.

Memang kes semakin meningkat dan keadaan agak terkawal tapi belum sampai tahap penutupan (taska, tadika dan pusat jagaan harian). Mungkin selepas (musim) Hari Raya Aidilfitri dan sebagainya kita akan tengok lagi kesannya, katanya pada sidang media di sini hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan Selangor menyumbang jumlah kes terbesar HFMD dengan 8,864 kes iaitu 28 peratus daripada keseluruhan, diikuti Kuala Lumpur dan Putrajaya – 4,421 kes (14 peratus), Sabah – 2,650 kes (8 peratus), Perak – 2,638 kes (8.0 peratus) dan Kelantan – 2,493 kes (7.9 peratus).Sementara negeri lain melaporkan kurang daripada 1,500 kes.

Dr Noor Hisham dipetik berkata, jumlah kes penyakit HFMD di negara ini meningkat pada kadar membimbangkan iaitu sebanyak 15 kali ganda berbanding tempoh sama tahun lepas dengan 31,661 kes dilaporkan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here