Risiko virus cacar monyet tersebar ke Malaysia rendah: Dr Noor Hisham

Risiko virus cacar monyet tersebar ke Malaysia adalah rendah kecuali sekiranya terdapat sejarah bersentuhan dengan haiwan dijangkiti ataupun kontak langsung dengan pesakit wabak itu. Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah(gambar) dalam kenyataan hari ini memaklumkan kemungkinan transmisi jangkitan dari manusia ke manusia adalah terhad.

Beliau bagaimanapun berkata Kementerian Kesihatan (KKM) akan memantau perkembangan situasi virus itu melalui laporan dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan melakukan pemantauan kes disyaki cacar monyet di Malaysia di semua pintu masuk antarabangsa.

Beliau juga menasihatkan pengembara ke kawasan yang terdapat kejadian cacar monyet di Afrika Tengah dan Afrika Barat serta negara yang sedang mengalami wabak penyakit itu agar mengambil langkah berwaspada.

“Mengekalkan kebersihan diri yang tinggi termasuk mencuci tangan dengan kerap selepas pergi ke tandas atau apabila tangan kotor. Mengelak sentuhan langsung dengan luka pada mereka yang dijangkiti sama ada manusia mahupun haiwan serta objek yang mungkin tercemar dengan cecair tubuh kes seperti pakaian kotor yang digunakan orang dijangkiti. Mengelakkan daripada bersentuhan dengan haiwan liar atau memakan dagingnya, kata Dr Noor Hisham.

Bagi pengembara yang tiba di negara ini dari kawasan terdapat jangkitan wabak cacar monyet dan mengalami gejala penyakit itu dalam tempoh tiga minggu selepas meninggalkan kawasan tersebut, beliau menasihatkan supaya mereka segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran.

“Maklumkan kepada doktor mengenai sejarah perjalanan tersebut. Elakkan daripada kontak langsung dengan individu lain dan lakukan pengasingan diri selama sekurang-kurangnya 21 hari bagi memastikan ruam makulopapular kering sepenuhnya,“ katanya.

Beliau berkata cacar monyet ini disebabkan oleh jangkitan orthopoxviruses dan virus ini ditularkan kepada manusia melalui gigitan atau sentuhan langsung dengan darah binatang atau cecair badan dan luka haiwan yang dijangkiti.

Katanya virus ini juga boleh disebarkan melalui titisan sekresi pernafasan dan juga boleh menular melalui kontak langsung dengan cecair daripada ruam makulopapular di badan orang yang dijangkiti atau dengan objek yang tercemar virus, seperti tempat tidur atau pakaian. Tempoh inkubasi biasanya antara enam hingga 21 hari. Pesakit akan mengalami gejala selama dua hingga empat minggu,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here