Putrajaya: Suami isteri direman enam hari bermula hari ini berkait kes meminta dan menerima rasuah lebih RM600,000 bagi urusan melantik syarikat pengangkutan untuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Perintah tahanan reman pasangan berusia 50-an dan 40-an itu dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret di sini selepas menerima permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Terdahulu, SPRM dalam kenyataan berkata, suami isteri terbabit ditahan di kediaman mereka di Petaling Jaya kira-kira 7 malam semalam. Kenyataan menyebut suspek lelaki yang juga eksekutif kanan di syarikat GLC disyaki meminta habuan bulanan kira-kira RM20,000 sebagai balasan melantik sebuah syarikat pengangkutan bagi penghantaran produk berasaskan minyak ke seluruh negara untuk tempoh antara Julai 2019 hingga April tahun ini.
Isteri suspek pula dipercayai bersubahat untuk meminta dan menerima bagi pihak suaminya, selain dipercayai mempunyai kawalan ke atas kad debit milik syarikat pengangkutan terbabit, kata kenyataan itu. Eksekutif kanan berkenaan didakwa telah digantung tugas.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan suami isteri itu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.-HM





















