20 PATI berhimpit dalam Toyota Estima

Pasir Mas: Tindakan dua tekong membawa seramai 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar di dalam sebuah kereta Toyota Estima membawa padah apabila kenderaan itu ditahan pihak berkuasa di Kampung Tasek Berangan, di sini jam 12.30 malam tadi.

Pegawai Pemerintah Medan Ops Wawasan Kelantan, Deputi Superintendan K Ramesh, berkata ketika kejadian anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) sedang membuat rondaan sebelum terserempak kenderaan terbabit di persimpangan Kampung Pok Jak dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, anggota mengekori kereta itu sebelum salah seorang penumpang warga tempatan dilihat keluar untuk melarikan diri sebaik kenderaan berhenti, namun berjaya dikejar dan ditahan anggota bertugas.

“Hasil pemeriksaan di dalam kereta mendapati terdapat 20 penumpang disyaki warga Myanmar terdiri daripada 14 lelaki dan enam wanita berusia 17 sehingga 35 tahun. Manakala, dua lelaki warga tempatan berusia 25 dan 40 tahun turut ditahan, yang mana salah seorang bertindak sebagai pemandu.

Kesemua PATI diarahkan ‘berhimpit’ di dalam satu kenderaan bagi mempercepatkan proses perjalanan selain untuk mengaburi mata pihak berkuasa. Tekong bertindak membuka tempat duduk bahagian penumpang belakang bagi memudahkan PATI dibawa dengan jumlah yang ramai melebihi muatan sebenar.

Malah kenderaan yang digunakan juga adalah kereta mewah dengan cermin yang gelap supaya kegiatan mereka ini tidak dikesan oleh anggota bertugas,katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

K Ramesh berkata, hasil siasatan mendapati kesemua warga Myanmar berkenaan tidak mempunyai pasport atau kad perjalanan yang sah selain mengakui memasuki sempadan negara melalui pangkalan haram yang tidak diwartakan.

Anggota merampas kereta manakala dua tekong dan 20 PATI ditahan untuk di bawah ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas bagi tindakan lanjut dibawah Seksyen 26(J) ATIPSOM 2007 serta Seksyen 1(C) Imigresen 1953/1969.

Siasatan awal mendapati, kesemua PATI ini dibawa masuk secara haram melalui jalan sungai sebelum ditempatkan sementara di lokasi sepanjang Sungai Golok sebelum dibawa menaiki kenderaan oleh tekong yang sedia menunggu.PATI ini dipercayai mahu ke Kuala Lumpur bagi tujuan bekerja dalam pelbagai sektor termasuk sebagai buruh dan pekerja  kilang,katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here