Ditahan JAWI pula

Kuala Lumpur: Wanita tular yang didakwa menghina Islam ketika membuat persembahan di kelab komedi di sini, Siti Nuramira Abdullah ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) selepas dibebaskan hari ini.

Siti Nuramira ditahan penguat kuasa JAWI selepas menandatangani Borang Jamin dengan ditemani peguamnya, Ramesh Chandran di Kaunter Jaminan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, 10.30 pagi ini.

Mengikut prosedur, wanita itu akan ditahan oleh JAWI selama 24 jam sebelum dijangka dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah esok untuk dituduh mengikut Seksyen 7 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 Bahagian III-Kesalahan Yang Berhubungan Dengan Kesucian Agama Islam Dan Institusinya.

Seksyen itu membabitkan kesalahan menghina atau menyebabkan agama Islam dipandang hina yang mana jika disabitkan, boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali. Semalam, Nuramira dan teman lelakinya, V Alexander Navin membayar wang jaminan masing-masing berjumlah RM20,000 melalui hasil kutipan sumbangan orang ramai.

Pada 13 Julai lalu, Siti Nuramira mengaku tidak bersalah mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menimbulkan rasa tidak harmoni dalam kalangan masyarakat Islam ketika melakukan persembahan di Kelab Komedi Crackhouse di Taman Tun Dr Ismail pada 4 Jun lalu.

Pada hari sama, Navin, 38, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memuat naik kandungan menghina di media sosial. Bagi pertuduhan pertama, Navin didakwa berkongsi di akaun Instagramnya pada 5 Jun dengan niat untuk menghina orang lain. Sementara bagi pertuduhan kedua, dia didakwa berkongsi kandungan melalui akaun YouTubenya pada 16 Jun dengan niat untuk menghina orang lain.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here