Budak 11 tahun maut jatuh bangunan

Sungai Buloh: Kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun ditemui meninggal dunia oleh bapanya sendiri selepas dipercayai terjatuh dari tingkat empat sebuah flat di Puncak Alam di sini, hari ini.  Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira jam 9 pagi tadi.

Menurut keterangan daripada bapa mangsa berusia 30-an, dia memaklumkan ada melihat cahaya lampu dari bilik anak lelakinya itu kira-kira jam 2 pagi tadi ketika bangun untuk ke tandas. Ketika itu, bapa mangsa tidak membuat pemeriksaan lanjut kerana menyangka kanak-kanak berkenaan sedang tidur,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Shafa’aton berkata, ketika bapa mangsa turun ke tingkat bawah bangunan flat berkenaan untuk membeli sarapan kira-kira jam 8 pagi, dia melihat terdapat susuk tubuh terbaring di lokasi kejadian. Bapa mangsa terkejut apabila mendapati susuk tubuh berkenaan adalah anaknya yang dipercayai terjatuh dari kediaman mereka terletak di tingkat empat bangunan flat berkenaan.

Pasukan perubatan mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian. Mayat dihantar ke Jabatan Unit Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat, katanya. Katanya, berdasarkan soal siasat awal terhadap bapa mangsa mendapati anak sulung daripada tiga beradik itu tidak menunjukkan sebarang perubahan selain tiada masalah dalam keluarga. Siasatan lanjut berhubung kejadian itu sedang dijalankan. Setakat ini, kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR), katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here