Anwar angkat sumpah Perdana Menteri ke-10

Kuala Lumpur: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim selesai mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 di sini, 5.06 petang hari ini. Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini, selesai menzahirkan Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri ke-10 kepada Anwar, 75, di Istana Negara.

Majlis di Singgahsana Kecil Istana Negara menyaksikan Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun melahirkan setia dan sumpah simpan rahsia di hadapan Agong. Turut menyaksikan istiadat berkenaan, Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Ketua Hakim Negara Datuk Tengku Maimun Tuan Mat, Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Affendi Buang, Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun.

Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail turut hadir.

Antara pemimpin parti politik yang hadir termasuk Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke. Pada istiadat itu, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah turut membacakan doa untuk kesejahteraan negara.

Terdahulu Al-Sultan Abdullah memberi perkenan pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri kesepuluh selaras Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan. Ia selepas Seri Paduka mengadakan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu mengenai proses melantik Perdana Menteri susulan Pilihan Raya Umum ke-15 (19 November) lalu.

Menurut rekod, Anwar pernah menyandang beberapa jawatan dalam kabinet iaitu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (1982), Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan (1983), Menteri Pendidikan (1986 hingga 1991), Menteri Kewangan (1991 hingga 1998) dan Timbalan Perdana Menteri (1993 hingga 1998).

Beliau bagaimanapun dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri pada September 1998 dan mengetuai bantahan awam terhadap Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamed dan bermulanya gerakan reformasi.

Sejak tahun sama (1998), Anwar yang juga bapa enam anak mengetuai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam misinya untuk mengukuhkan demokrasi dan kedaulatan undang-undang negara. Antara pencapaian terbaiknya adalah diiktiraf sebagai Menteri Kewangan Terbaik Asia oleh AsiaMoney pada 1996.

Beliau juga pernah dilantik sebatai Presiden Majlis Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (Unesco), Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa, Presiden Kehormat Kebolehpercayaan dan Ahli Lembaga Penasihat Kumpulan Krisis Antarabangsa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here