Pemain hoki digantung wakili negara

Kuala Lumpur: Jawatankuasa Siasatan Majlis Sukan Malaysia (MSN) meminta agar Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) tidak mempertimbangkan Hanis Nadiah Onn dari mewakili pasukan hoki kebangsaan ke mana-mana tugasan antarabangsa termasuk temasya Sukan Sea Kemboja 2023.

Keputusan itu dibuat selepas jawatankuasa berkenaan bersama MHC bermesyuarat kelmarin (Selasa) berhubung isu membabitkan ciapan komen Hanis, pemain hoki wanita negara di laman sesawang Instagram Kosmo Online yang didakwa berbaur perkauman berkenaan konsert artis dan composer dari India, AR Rahman 28 Januari lalu.

Jawatankuasa Siasatan yang dipengerusikan secara bersama oleh Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal, memanggil Hanis untuk sesi tembual bagi membantu siasatan isu berkenaan. Dalam sesi berkenaan, Hanis mengakui memuatnaik ciapan komen ‘bau best la kat dalam tu’ berserta emoji tertawa sehingga mengeluarkan air mata kepada gambar dan video keadaan konsert yang dimuatnaik oleh Kosmo Online jelas kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Hanis menegaskan tidak mempunyai sebarang sentimen perkauman semasa memuatnaik ciapan yang sekadar jenaka dan merujuk kepada keadaan stadium dipenuhi puluhan ribu penonton. Dia hanya menyedari wujudnya elemen berbaur perkauman selepas ditegur oleh netizen. Ekoran daripada teguran itu, Hanis memadam komennya pada pagi 29 Januari dan membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi laman media sosialnya ekoran kekhilafan berkenaan.

Hanis mengakui amat kesal dengan keterlanjuran ciapannya dan menegaskan bahawa beliau bukan seorang yang ‘racist’ dan membesar dalam masyarakat majmuk di Kluang, Johor serta memiliki ramai rakan berbangsa India, terutamanya sebagai atlet negara, kata kenyataan itu. Jawatankuasa Siasatan juga memanggil jurulatih skuad hoki wanita negara, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim yang menyatakan Hanis adalah pemain utama pasukan dan memiliki perwatakan merendah diri serta berdisiplin tinggi sepanjang latihan dan kejohanan.

Mohd Nasihin juga mengakui Hanis memiliki ramai rakan hoki dalam kalangan bangsa India dan mereka bergaul rapat tanpa masalah ekoran sifatnya yang mudah mesra dengan rakan sepasukan. Hasil daripada sesi temubual dan selepas memperhalusi beberapa dapatan lain berhubung isu berkenaan, Jawatankuasa Siasatan merumuskan bahawa Hanis memuatnaik ciapan komen yang berbaur perkauman kerana komen itu ditujukan kepada konsert dihadiri majoriti kaum India.

Sehubungan itu, jawatankuasa berkenaan mendapati Hanis bersalah sebagai individu kerana membuat kenyataan atau komen secara terbuka di akaun media sosial miliknya yang menjurus kepada menghina, mengutuk atau mencaci sesuatu pihak lain,” jelas kenyataan itu.

Hanis juga didapati bersalah kerana ciapan komen yang boleh disalah erti atau menimbulkan salah faham, kegusaran ataupun kemarahan sesuatu pihak lain. Sebagai pemain hoki negara, Hanis didapati bersalah kerana membuat komen yang mengakibatkan kerosakan kepada imej pasukan dan MHC yang jelas melanggar kod etika MHC.

Pihak MHC akan menilai semula keputusan ini sekiranya Hanis mempamerkan perubahan sikap yang positif sepanjang tempoh berkenaan. Jawatankuasa berkenaan berharap tindakan itu akan menjadi ingatan dan pengajaran berguna kepada Hanis serta semua atlet negara untuk sentiasa berhati-hati dengan sebarang hantaran ataupun ciapan di semua platform media sosial, kata kenyataan itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here