Kenderaan persendirian tak lagi perlu pamer cukai jalan

car road tax

 Pemilik kenderaan persendirian tidak perlu lagi mempamerkan cukai jalan di kenderaan masing-masing mulai hari ini, umum Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook. Katanya, warganegara boleh menggunakan mod paparan LKM Digital (e-LKM) dan LMM Digital (e-LMM) melalui portal awam JPJ atau aplikasi MyJPJ bawah satu projek perintis. Ini selaras dengan pelaksanaan langkah digitalisasi dalam perkhidmatan teras JPJ, iaitu cukai jalan dan lesen memandu, oleh Kementerian Pengangkutan, tambahnya.

Loke pada 3 Januari lalu dalam kenyataan di Facebook mengenai pelekat cukai jalan yang dikatakan sering tertanggal menyatakan akan mengambil tindakan berhubung perkara itu. Saya tahu ramai orang mengadu mengenai pelekat cukai jalan yang kurang berkualiti dan perkara itu memang dalam perhatian kami serta satu perubahan besar akan dilaksanakan dalam tahun ini, kata Loke dalam kenyataan itu.

Loke dilaporkan berkata, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan memberi fokus kepada pendigitalan sistem bagi menyelesaikan isu orang ramai terpaksa beratur panjang dan menunggu lama di kaunter ketika berurusan. Antara agenda utama JPJ tahun ini ialah melaksanakan digitalisasi dalam perkhidmatan teras kepada rakyat seperti pelesenan kenderaan dan pemandu, selain memperkukuhkan penguatkuasaan undang-undang jalan raya,” katanya.

Beliau berkata, antara agenda utama kementerian adalah mempermudahkan urusan rakyat. Saya tidak ingin melihat orang ramai beratur panjang di pejabat JPJ dan menyusahkan mereka, katanya. Sejak tahun lalu, pelekat cukai jalan menjadi perhatian orang ramai kerana didakwa tidak berkualiti kerana cepat rosak dan tidak tahan lama sekiranya ditanggalkan. Ia juga menjadi kabur dan kurang jelas sebelum cukai jalan itu tamat manakala sisa gam melekat pada cermin kereta apabila ditanggalkan.

Isu beratur panjang di pejabat JPJ juga tidak berkesudahan sejak sekian lama meskipun era digitalisasi pejabat kerajaan sudah lama berlangsung dan menyebabkan kewujudan ‘ejen-ejen’ yang mengambil kesempatan terhadap kelemahan sistem terbabit.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here