Warga emas maut ketika melintas jalan ke masjid

Marang: Seorang warga emas maut dilanggar kereta ketika melintas di jalan utama Kuala Terengganu-Kuantan hadapan Masjid Rhu Muda, Kampung Seberang Marang, di sini, malam tadi. Mangsa, Esah Awang, 72, dari rumahnya dipercayai melintas jalan untuk menunaikan solat di Masjid Rhu Muda, di sini.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Md Dris berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu lebih kurang pada jam 8.50 malam. Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa dari rumah yang terletak sebelah pantai melintas jalan untuk pergi solat di Masjid Rhu Muda yang terletak sebelah jalan.

Ketika melintas jalan, mangsa dilanggar oleh sebuah kereta yang dipercayai datang dari arah Kuantan ke Kuala Terengganu. Kenderaan yang melanggar mangsa belum dikenal pasti dan belum tampil membuat laporan polis serta polis sedang mengesannya katanya menerusi kenyataan, di sini, hari ini.

Mohd Zain berkata, akibat daripada perlanggaran terbabit, mangsa cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian. Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengakutan Jalan 1987.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here