Polis buru suspek larikan 70 unit iPhone

TELUK INTAN: Polis sedang memburu suspek kes samun bersenjata di Kompleks Menara Condong Teluk Intan di sini awal pagi tadi.ம்Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, dalam kejadian pada pukul 2 pagi itu, seorang pengawal keselamatan cedera di kepala selepas bergelut dengan suspek yang bersenjatakan kapak.

Katanya, ketika kejadian, mangsa berusia lingkungan 60-an itu sedang berehat di kaunter tandas di kompleks perniagaan berkenaan. Suspek yang membawa sebilah kapak telah mengacukan senjata tersebut ke arah mangsa. Mangsa cuba mengelak dan berlaku pergelutan antara mereka sebelum suspek menetak bahagian atas kepala lelaki itu.

Suspek telah membawa mangsa ke tandas dan mengikat kaki dan tangan lelaki itu sebelum menguncinya dari luar tandas katanya di sini hari ini. Menurut beliau, suspek kemudian bertindak memecah masuk sebuah kedai telekomunikasi di kompleks berkenaan dan melarikan kira-kira 70 unit telefon bimbit jenis iPhone yang berada di rak pameran.

Katanya, jumlah kerugian yang dialami pemilik kedai dianggarkan sebanyak RM300,000. Unit Forensik Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak telah ke lokasi kejadian dan menjumpai beberapa barang kes yang boleh membantu siasatan.

Usaha sedang dijalankan bagi mengesan dan menangkap suspek. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta membantu siasatan dengan menyalurkan maklumat kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak atau balai polis berhampiran, katanya

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here